




30 OKTOBER 2026 – Majlis Perasmian Karnival Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah berlangsung dengan penuh meriah pada malam 30 Oktober 2026 bertempat di Stadium Kulim.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Kedah, Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, bersempena sambutan 25 tahun penubuhan MPKK yang menjadi simbol perjalanan transformasi dan kemajuan pembangunan Kulim sepanjang suku abad.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Haji Elmi bin Yusoff menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian dan pembangunan pesat Kulim yang telah mengalami transformasi daripada sebuah pekan berasaskan pertanian kepada hab perindustrian berteknologi tinggi yang menjadi tumpuan pelabur antarabangsa. Beliau turut memaklumkan bahawa Kulim kini menerima pelaburan daripada lebih 12 buah negara dengan nilai pelaburan yang telah mencecah lebih RM200 bilion pada tahun 2025.
Beliau turut menegaskan bahawa kemajuan ekonomi dan perindustrian perlu bergerak seiring dengan usaha meningkatkan kesejahteraan, kesihatan dan kualiti hidup masyarakat setempat. Sehubungan itu, MPKK akan terus komited memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperluas inisiatif pendigitalan, meningkatkan kemudahan infrastruktur awam serta memastikan pembangunan Kulim kekal mampan, sejahtera dan berdaya saing.
Pada majlis tersebut, turut berlangsung Penyampaian Sumbangan Jalinan Kasih Deepavali 2026 kepada seramai 180 orang penerima melalui 18 zon Ahli Majlis MPKK sebagai manifestasi keprihatinan dan komitmen berterusan pihak Majlis dalam menjaga kebajikan serta kesejahteraan masyarakat berbilang kaum.
Kemuncak sambutan malam perasmian diserikan dengan persembahan Drone Light Show Kulim yang menampilkan lebih 400 buah dron membentuk pelbagai formasi cahaya menarik berteraskan identiti MPKK serta Kulim. Persembahan yang memukau ini menjadi antara detik istimewa dalam sejarah sambutan Jubli Perak MPKK.
Kemeriahan malam tersebut diteruskan dengan persembahan artis istimewa, Hazama, yang menghiburkan para pengunjung dan menambahkan lagi kemeriahan sambutan bersejarah ini.
MPKK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, barisan kepimpinan terdahulu, warga kerja MPKK, agensi kerajaan, rakan strategik serta seluruh masyarakat yang hadir memberikan sokongan dalam menjayakan majlis perasmian ini.
Semoga sambutan Jubli Perak 25 Tahun MPKK menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kecemerlangan pentadbiran, memacu pembangunan bandar yang mampan serta meningkatkan kesejahteraan seluruh warga Kulim untuk tahun-tahun mendatang.