




Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) turut hadir memeriahkan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 yang berlangsung di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada 4 November 2026, bertemakan “Bandar Kita, Masa Depan Kita”. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YB Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sebelum disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Program ini turut menyaksikan peluncuran Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3), selain penyampaian Anugerah Bandar Pintar, Anugerah Bandar Mampan dan Anugerah Penarafan Smart Township Malaysia 2026.
Antara penerima anugerah ialah Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC) yang telah menerima Penarafan Smart Township Malaysia 2026 Kategori Silver bagi Kulim Hi-Tech Park (KHTP). Pengiktirafan ini merupakan satu pencapaian membanggakan yang mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh pembangunan bandar pintar, mampan dan berdaya saing.
MPKK berharap pengiktirafan dan perkongsian ilmu melalui program ini dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa perancangan serta pembangunan bandar Kulim ke arah masa depan yang lebih mampan, inklusif dan sejahtera.