DARI JALANAN KE PERSADA NASIONAL: LAMAN NIAGA SEKUPANG RANGKUL ANUGERAH PLATINUM SEMPENA PERSIDANGAN NASIONAL REFORMASI KARENAH BIROKRASI 2026

Pencapaian yang membanggakan buat Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) apabila merangkul Anugerah Platinum sempena Persidangan Nasional Reformasi Karenah Birokrasi (PNRKB) 2026 bertempat di Selangor International Trade Centre (SITC).

Projek “Meningkatkan Kecekapan Pengurusan Pendaftaran dan Kawal Selia Penjaja B40 Melalui Pelaksanaan Laman Niaga Sekupang MPSPK Dari 30 Hari Kepada 2 Minit” membuktikan komitmen berterusan MPSPK dalam merintis transformasi penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, tangkas dan berorientasikan rakyat. Inisiatif ini bukan sekadar menyingkatkan tempoh urusan pendaftaran daripada 30 hari kepada hanya 2 minit, malah mencerminkan anjakan paradigma dalam memperkasa tadbir urus penjajaan, merungkai kekangan birokrasi serta mempermudah urusan pelanggan. Lebih daripada itu, pelaksanaan projek ini menjadi wahana untuk mengangkat martabat penjaja golongan B40 melalui penyediaan ruang niaga yang lebih terancang, tersusun dan kondusif, sekali gus membuka lembaran baharu ke arah pemerkasaan ekonomi rakyat yang inklusif dan mampan. ‎

Yang Dipertua MPSPK, YM Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muszaffar Shah telah hadir menerima anugerah tersebut yang telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Dr. Mohd. Bakhari bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Muhammad Mahazi bin Haji Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) merangkap Ketua Pegawai Reformasi (CRO) Negeri Kedah.

Projek ini merupakan cetusan idea dan aspirasi Yang Dipertua MPSPK yang berpandangan jauh dalam meneroka pendekatan baharu bagi mentransformasikan pengurusan penjaja tepi jalan. Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh pegawai dan kakitangan yang telah mencurahkan komitmen, iltizam serta dedikasi yang tidak berbelah bahagi dalam merealisasikan kejayaan projek ini, sekali gus menyumbang kepada pemerkasaan agenda Reformasi Karenah Birokrasi Negeri Kedah.

ANUGERAH EMAS

Projek “Mempercepat Proses Kelulusan Kebenaran Merancang Terhad, Permit Sementara Dan Lesen Premis dalam Pelaksanaan Pemutihan Bangunan Sementara (Komersial) daripada 9 Bulan Kepada 1 Bulan turut mendapat Anugerah Emas dalam persidangan tersebut.

Terima kasih kepada semua para peniaga Laman Niaga Sekupang dan kejayaan ini membuktikan bahawa apabila gagasan kepimpinan disambut dengan kesepaduan usaha dan semangat kerja berpasukan, perubahan yang bermakna mampu direalisasikan. Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih banyak inovasi berimpak tinggi, sekali gus mengangkat nama MPSPK ke persada kecemerlangan perkhidmatan awam di peringkat negeri dan nasional.

Klik untuk gambar sekitar program
Klik untuk video sekitar program

Skip to content