




5 November 2026 – Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah menyempurnakan sesi hari ketiga yang juga merupakan hari terakhir Taklimat Pra Pendaftaran dan Pra Undian Petak Niaga Bazar Ramadan 2027/1448H bertempat di Dewan Bandaran Kulim, melibatkan pemohon dari kawasan Taman Mutiara, Taman Desa Aman, Taman Lobak, Taman Sena, Taman Bandar Permata Lunas dan Taman Cinta Sayang.
Sesi taklimat telah disampaikan oleh Encik Wan Qaiyim bin Wan Izaham, Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pejabat Kesihatan Daerah Kulim; Puan Norhasniza binti Khazari, Ketua Cawangan Bank Muamalat Kulim; Puan Nur Amira binti Azman dari E-Idaman Kulim; serta Encik Mohamad Firdaus bin Saiden, Ketua Unit Peniaga Kecil & Penjaja, Jabatan Kesihatan Persekitaran, MPKK.
Sepanjang sesi taklimat, para peniaga telah diberikan penerangan dan panduan berkaitan aspek kebersihan dan keselamatan makanan, pengurusan kewangan, pengurusan sisa pepejal serta pematuhan syarat-syarat penjajaan. Perkongsian ini bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan para peniaga bagi memastikan pelaksanaan Bazar Ramadan 2027/1448H berjalan dengan lebih teratur, bersih, selamat dan sistematik.
Dengan berakhirnya sesi hari ketiga ini, maka lengkaplah siri Taklimat Pra Pendaftaran dan Pra Undian Petak Niaga Bazar Ramadan 2027/1448H yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 November 2026.
MPKK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat, para penceramah serta seluruh pemohon dan peniaga atas komitmen, kerjasama dan sambutan yang diberikan sepanjang program berlangsung.
Semoga segala ilmu dan maklumat yang dikongsikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peniaga sebagai persediaan menghadapi musim perniagaan Ramadan yang akan datang, sekali gus memastikan Bazar Ramadan 2027/1448H dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.