




15 November 2026 – PUSPANITA Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah menganjurkan Program Jaga Minda, Jaga Diri bertempat di Dewan Alamanda, Kulim Inn.
Dalam ucapan perasmian, YBhg. Datin Azlina binti Md. Zuki, Pengerusi PUSPANITA MPKK, menekankan bahawa sebagai wanita, kita sering menggalas pelbagai amanah dan tanggungjawab sama ada dalam kerjaya, keluarga mahupun masyarakat. Namun, dalam kesungguhan memenuhi tanggungjawab tersebut, kita tidak seharusnya mengabaikan kesejahteraan diri sendiri.
Beliau turut mengingatkan bahawa mendapatkan bantuan atau khidmat nasihat profesional apabila berdepan tekanan emosi bukanlah lambang kelemahan, sebaliknya mencerminkan keberanian dan kesedaran untuk memelihara kesejahteraan diri. Beliau berharap agar ilmu dan panduan yang dikongsikan dapat diterjemahkan melalui amalan positif dalam kehidupan seharian.
Program ini menampilkan penceramah jemputan, YBrs. Puan Yasmin Hanani Rozley, Pegawai Psikologi Klinikal, Jabatan Psikiatri, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, yang telah menyampaikan perkongsian ilmu dan panduan berkaitan kepentingan penjagaan kesihatan mental, pengurusan tekanan serta kesejahteraan emosi dalam kehidupan seharian.
Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman peserta mengenai kepentingan memelihara kesihatan mental serta membina keupayaan mengurus emosi dan tekanan secara positif. Selain itu, program ini turut menjadi platform perkongsian ilmu dalam memperkukuh kesejahteraan diri serta membentuk keseimbangan antara kehidupan peribadi dengan tanggungjawab seharian.
Turut hadir ialah Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha Majlis Perbandaran Kulim serta Ahli Jawatankuasa PUSPANITA MPKK.
Kesihatan mental yang baik merupakan asas penting dalam membentuk individu yang sejahtera, produktif dan berdaya tahan. Sehubungan itu, program seumpama ini diharap dapat menggalakkan amalan penjagaan kesihatan mental secara berterusan, di samping memupuk budaya saling memahami, menyokong dan prihatin terhadap kesejahteraan emosi dalam kalangan masyarakat.