PROGRAM SOSIAL BANDAR SELAMAT TAHUN 2026 : PERKASA KESEDARAN KOMUNITI KE ARAH BANDAR SELAMAT DAN SEJAHTERA
Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) melalui Jabatan Perancangan Bandar telah menganjurkan Program Sosial Bandar Selamat Tahun 2026 bertemakan “Komuniti Selamat dan Bandar Sejahtera” yang berlangsung pada 18 November 2026 bertempat di Dewan Auditorium, Aras G, Menara MPSPK, Sungai Petani.
Program ini merupakan salah satu usaha meningkatkan kesedaran serta memperkukuh kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan komuniti dalam mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat, sejahtera dan harmoni.
Program disempurnakan oleh Tuan Setiausaha MPSPK, Encik Mohamad Hilmi bin Marzuki, yang turut menyampaikan amanat berkaitan kepentingan penglibatan semua pihak dalam membentuk komuniti yang prihatin terhadap aspek keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian persekitaran bandar.
Antara pengisian program ialah sesi taklimat dan perkongsian kesedaran yang telah disampaikan oleh Supritendan Ganes A/L Arumugam, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda (PDRM), Puan Arnida binti Ishak, Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda, serta Encik Balan A/L Muniandy, dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kuala Muda, di samping sesi soal jawab bersama para peserta.
Program sebegini turut menjadi platform untuk menyampaikan informasi berkaitan aspek keselamatan, pencegahan masalah sosial serta kepentingan perpaduan dan kerjasama komuniti dalam membentuk persekitaran bandar yang lebih kondusif.
Terima kasih kepada Ketua Jabatan Agensi-Agensi Kerajaan, Pengarah-Pengarah Jabatan dan Bahagian, warga kerja MPSPK, para pempamer, wakil penduduk khususnya Kawasan Rukun Tertangga (KRT)
MPSPK komited untuk terus memperkukuh usaha bersama agensi berkaitan dan komuniti dalam menjayakan agenda bandar selamat, sejahtera dan berdaya huni demi kesejahteraan masyarakat Sungai Petani. Komuniti Selamat, Bandar Sejahtera!
Klik untuk video sekitar program
Klik untuk gambar sekitar program











