HARI KEDUA KONVENSYEN PERUNDANGAN DAN PENGUATKUASAAN PBT MALAYSIA 2026 PERKUKUH PENDEKATAN PENGUATKUASAAN DAN TADBIR URUS PBT

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 24 November 2026 – Konvensyen Perundangan dan Penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia 2026 diteruskan pada hari kedua dengan pengisian ceramah dan perkongsian ilmu yang memberi tumpuan kepada aspek kesihatan awam, perundangan serta penguatkuasaan dalam memperkukuh peranan dan tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
 
Antara pengisian utama ialah sesi ceramah yang menampilkan barisan penceramah berpengalaman daripada pelbagai bidang kepakaran, iaitu Penolong Pengarah Kesihatan, Jabatan Kesihatan MBJB, YBrs. Dr. Muhamad Khairi bin Sulaiman; Peguambela dan Peguamcara, YBrs. Puan Aisha Jothilingam; serta Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MBPP, YBrs. Tuan Noorazrein bin Noorazlan Ong.
 
Sesi perkongsian merangkumi tiga topik utama yang dekat dengan realiti dan cabaran pengurusan PBT, iaitu “Haiwan Terbiar: Antara Aduan dan Penguatkuasaan”, “Aset Hijau Bandar: Siapa Bertanggungjawab” serta “Revolusi Pintar Penguatkuasaan Parkir”. Perbincangan ini mengetengahkan pelbagai perspektif berkaitan tanggungjawab PBT, cabaran pelaksanaan penguatkuasaan serta keperluan pendekatan yang lebih strategik dan inovatif dalam menangani isu-isu di peringkat tempatan.
 
Konvensyen yang berlangsung selama dua hari itu melabuhkan tirainya dengan rumusan dan resolusi penutup oleh Tuan Setiausaha MBAS, Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin, yang merumuskan keseluruhan pengisian serta perkongsian sepanjang konvensyen berlangsung.
 
Penganjuran konvensyen ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh keupayaan dan kesiapsiagaan warga PBT dalam menghadapi cabaran pengurusan bandar yang semakin kompleks, selain membina kesepakatan dan jaringan kerjasama strategik ke arah pelaksanaan perundangan serta penguatkuasaan yang lebih mantap, berkesan dan berintegriti.
 
 
Skip to content