PROGRAM GOTONG ROYONG MEMBANTERAS DENGGI BERSAMA PENIAGA

18 Mei 2023 – Majlis Bandaraya Alor Setar melalui Bahagian Kawalan Penyakit dan Promosi Kesihatan telah menganjurkan Program Gotong Royong Membanteras Denggi Bersama Peniaga yang bertempat di Pekan Cina, Alor Setar. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar Negeri Kedah, Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Kedah, E-Idaman Sdn Bhd, SWCorp serta Komuniti Peniaga Pekan Cina Alor Setar.
 
Ketua Bahagian Kawalan Penyakit Dan Promosi Kesihatan MBAS, Puan Nor Shakila bt Che Ali berkata program gotong royong ini bertujuan sebagai pencegahan awal bagi membanteras gejala denggi di kawasan tersebut. Ia tertumpu di lorong-lorong belakang premis yang merupakan kawasan berisiko tinggi pembiakan nyamuk aedes. Selain itu, edaran risalah dan abate kepada peniaga-peniaga di kawasan tersebut turut dilakukan bagi mengenal pasti kawasan air bertakung yang menjadi tempat berisiko tinggi pembiakan nyamuk aedes . Beliau juga menyeru kepada warga Bandaraya Alor Setar sama ada di kawasan perumahan dan premis perniagaan untuk sentiasa peka dan mengambil kawalan pencegahan bagi membanteras gejala denggi. Program gotong royong ini akan diteruskan dari masa ke semasa mengikut jadual yang akan diaturkan bersama agensi-agensi terlibat.
 
 
Skip to content