KULIM, 28 Ogos 2023 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) menjalin kerjasama erat yang telah termeterai melalui penyerahan Memorandum Kerjasama (Memorandum of Cooperation – MOC) bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang disempurnakan oleh Dr. Haji Nadzman Bin Mustaffa, Yang Dipertua, MPKK bersama dengan Puan Zainora Binti Zainal, Pengurus Besar Kanan, Sektor Pembangunan Teknologi, CIDB.
Majlis pelancaran bagi pelaksanaan NbeS dan Pusat Operasi BIM di peringkat MPKK ini, adalah sebagai simbolik yang bertujuan untuk menghebahkan penggunaan BIM dan NbeS yang disasarkan kepada pemain-pemain industri binaan yang beroperasi di kawasan utara.
NBeS dan BIM adalah satu platform digital yang dibangunkan melalui kepakaran teknikal CIDB Malaysia bagi pengemukaan pelan bangunan dengan menggunakan Building Information Modelling (BIM) sebagai perkakasan digital bagi menyediakan pelan-pelan bangunan secara ‘3D Modelling’. MPKK merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang pertama di Negeri Kedah yang merintis pelaksanaan BIM ini.
Pada peringkat permulaan, MPKK menyasarkan pelaksanaan NbeS/ BIM ini kepada permohonan-permohonan pelan bangunan industri sahaja memandangkan ‘Industri Teknologi Tinggi’ merupakan hala tuju yang telah ditetapkan kepada Daerah Kulim dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035.
Oleh yang demikian, pelaksanaan NBeS dan BIM diharap dapat memacu proses pemajuan industri seiring dengan perkembangan pembangunan Taman Industri Berteknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech Park) dan ‘Kulim Industrial Corridor’ yang semakin mendapat sambutan tinggi daripada para pelabur terutamanya bagi kawasan Fasa 4, Fasa 4A, dan Fasa 5 di bawah pentadbiran MPKK.
‘Principle Submitting Person’ (PSP) yang terdiri daripada Arkitek, Jurutera, kontraktor, pemaju-pemaju perumahan, agensi-agensi teknikal dan badan-badan berkepentingan disarankan mendalami perkara ini bagi meningkatkan kecekapan dan kejituan dalam menyediakan pelan-pelan pembangunan di samping bersiap siaga untuk mempraktikkan aplikasi NBeS yang disediakan oleh CIDB Malaysia bagi meningkatkan prestasi dan nilai tambah kepada praktis masing-masing.
Faedah penggunaan bagi aplikasi BIM ini adalah menjadi ‘Auto Checker’ ke atas pelan-pelan bangunan yang dikemukakan dengan memudahkan proses ulasan dan semakan melalui parameter-parameter yang telah ditetapkan dalam sistem tersebut. Parameter seperti Undang-undang Bangunan Seragam (UBBL) dan keperluan kebombaan antara elemen-elemen penting yang berkaitan dengan pelan bangunan.
Analisa ke atas pelan ‘3D Modelling’ yang dikemukakan oleh PSP memerlukan hanya masa sekitar 24 jam sahaja untuk sistem menjana ulasan dan laporan pematuhan untuk tindakan pembetulan oleh PSP. Proses ini telah memendekkan tempoh semakan oleh anggota teknikal MPKK dan memudahkan PSP untuk mengambil tindakan susulan.
Pelaksanaan NBes / BIM oleh MPKK diharapkan akan menjadi contoh dan inspirasi bagi melaksanakan program inovasi baharu sebagai usaha untuk mencapai kriteria ‘Bandar Pintar’. Terdahulu, inisiatif E10 oleh MPKK iaitu ‘Kelulusan Permit Bangunan’ secara ekspres dengan matlamat membantu pelabur-pelabur industri untuk mencapai sasaran tempoh beroperasi dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah menjadi model dan diterima pakai di seluruh PBT di Malaysia sebagai inisiatif menarik pelaburan asing ke Malaysia.