Baling, 24 April 2024 (Selasa)

Alhamdulillah telah berlangsung dengan jayanya Program Jalinan Ilmu dan Jom Baca Bersama 10 minit Bersempena dengan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Negeri Kedah 2024 yang bertempat di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling semalam, anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Baling dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Semalaysia, Kementerian Perpaduan Negara Perpustakaan Negara Malaysia, Kementerian Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Persatuan Pustakawan Malaysia.

Menampilkan panel-panel hebat seperti Prof. Madya Dr.Haji Mohd Kasri bin Saidon dari Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Mejar (B) Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM, Bekas Juruterbang Helikopter Nuri merangkap Penulis buku LIKU-LIKU PERTEMUAN BALING buat julung-julung kalinya amat bermakna buat warga Baling. Selain dapat menmbahkan pengetahuan tentang sejarah yang berlaku di daerah Baling, slot Sembang Sejarah ini juga menambahkan kecintaan kita kepada perpaduan negara. Kehadiran warga Baling daripada berbilang kaum dan pelbagai lapisan masyarakat itu sendiri bersesuaian dengan slogan Baling iaitu “BALING BERSIH BAHAGIA DAN BEDAYAHUNI”.

Program Jom Baca 10 minit yang dianjurkan oleh PNM yang bermula pada tahun 2014 ini telah memasuki tahun kesebelas perlaksanaannya. Program ini turut diraikan serta mendapat kerjasama daripada perpustakaan di seluruh negara, termasuklah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri-Negeri, Perpustakaan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan juga perpustakaan-perpustakaan khusus. Selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca di kalangan masyarakat, program seperti ini juga diharap dapat memupuk minat dan amalan membaca di kalangan masyarakat Malaysia berbilang kaum, meningkatkan tahap pembacaan rakyat Malaysia dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat serta cintakan ilmu. Kehadiran Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah ke program ini bagi berkongsi ilmu dan pengalaman beliau yang sangat luas dalam bidang kesusasteraan Melayu juga dilihat sebagai suatu penghormatan terhadap warga Baling.

Selain penjualan bahan bacaan seperti novel, majalah, komik dan buku-buku ilmiah, aktiviti-aktiviti menarik seperti Pelancaran Buku dan Kitab (Penulis Baling), Pameran & Jualan Buku, Aktiviti Ceria Minda Perpustakaan, Pameran Agensi, Jualan Produk & Makanan, Jualan FAMA, Jualan Peladang dan Jualan Rahmah turut mendapat sambutan para pengunjung. Oleh itu, kami di PDTB amat gembira dan berbangga dengan program seperti ini yang mampu mencelikkan akal serta minda setiap generasi tanpa mengira usia dalam mengimarahkan budaya membaca. Semoga program-program bermanfaat terus mewarnai bumi tercinta kita, Baling.

#Malaysiamembaca

#Balingmembaca

#Kedahmembaca

#JomBacaBaling

Skip to content