𝟑𝟎 𝐀𝐏𝐑𝐈𝐋 𝟐𝟎𝟐𝟒 (𝐒𝐄𝐋𝐀𝐒𝐀)

𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐀𝐍𝐔𝐆𝐄𝐑𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐇𝐈𝐃𝐌𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐂𝐄𝐌𝐄𝐑𝐋𝐀𝐍𝐆 (𝐀𝐏𝐂), 𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐑𝐒𝐀𝐑𝐀𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐉𝐀𝐌𝐔𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐑𝐈 𝐑𝐀𝐘𝐀 𝐀𝐈𝐃𝐈𝐋𝐅𝐈𝐓𝐑𝐈 𝟏𝟒𝟒𝟓𝐇/𝟐𝟎𝟐𝟒𝐌

Majlis Anugerah Cemerlang (APC), Majlis Persaraan dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri 1445H/2024M telah berlangsung di Dewan Lestari, Guar Chempedak, Yan, Kedah Darul Aman pada jam 8.00 malam. Majlis dimulakan dengan aluan Pengacara Majlis dan disusuli dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Tuan Haji Muhamad Nizam bin Mohd Noh, PJK, Imam Masjid Al-Wustha merangkap Ahli Majlis Daerah Yan.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan Aluan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Yan, Puan Maznim binti Ismail, AMK., BCK. Acara diteruskan dengan montaj Persaraan Encik Mokhtar bin Bahari. Video montaj yang berdurasi 3 minit itu memaparkan kenangan suka duka semasa beliau berkhidmat di Majlis Daerah Yan selama 28 tahun 1 bulan bermula pada 01 April 1995. Seterusnya sesi penyampaian Sijil Penghargaan dan cenderamata khas bagi menghargai segala jasa bakti dan sumbangan yang dicurahkan oleh beliau kepada Daerah Yan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka tersebut.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan Mock Cheque yang berjumlah RM 1,000.00 (Ringgit Malaysia: Satu Ribu Ringgit Malaysia) kepada enam orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 (Penilaian Prestasi tahun 2023).

Para dif kehormat dan tetamu jemputan kemudiannya menikmati jamuan yang melibatkan pelbagai 10 jenis juadah antaranya nasi minyak, ketupat, lemang, rendang, kambing golek, sate, laksa, ais krim dan rojak serta pelbagai jenis minuman sambil dihiburkan dengan pelbagai lagu raya bagi memeriahkan lagi suasana di dalam dewan.

Majlis Jamuan kemudian diteruskan dengan sesi penyampaian duit raya kepada anak – anak yang hadir dan disusuli dengan penyampaian hadiah – hadiah bagi busana sedondon kategori keluarga, pasangan dan individu.

Turut hadir dalam program ini Puan Pegawai Daerah Yan / YDP Majlis Daerah Yan (Puan Maznim binti Ismail, AMK., BCK.), Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan (Puan Noorul Azzyati binti Ahmad Salmi, BCK.) dan Jabatan Kerja Raya(JKR) Yan (Tuan Ir. Sharudin bin Halim, BCK.), semua Ahli Majlis, Majlis Daerah Yan, pegawai-pegawai pesara dan semua kakitangan Majlis Daerah Yan beserta keluarga.

Setinggi – tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada semua yang terlibat yang menyumbang secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kelancaran dan kejayaan program yang sangat bermakna, khususnya di Syawal ini.

Semoga program murni ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan serta mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah s.w.t.

Skip to content