SEMINAR DAN TAKLIMAT PELAKSANAAN INISIATIF PENAMBAHBAIKAN OSC 3.0 PLUS BAGI ZON UTARA – PROSES DAN PROSEDUR PELAN PEMAJUAN
Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) telah menganjurkan seminar dan taklimat tersebut di Dewan Bankuet, MPSPK.
Taklimat yang memfokuskan kepada peranan dan tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan/Agensi Teknikal Zon Utara pada 26 Jun 2024 yang dihadiri oleh Yang Dipertua MPSPK, Y.M Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muszaffar Shah AMK., AMN., BCK, telah dirasmikan oleh Ar. Mohamad Nazli bin Ramli, Pengarah (Bahagian Perunding Kawalan Pemajuan) JKT, KPKT.
Manakala seminar dan taklimat pada 27 Jun 2024 yang telah dirasmikan oleh Setiausaha MPSPK, Puan Noorulhuda binti Mohammed AMK., BCK, memfokuskan kepada pemain-pemain industri termasuk pemaju dan perunding yang mengemukakan permohonan-permohonan di negeri Kedah, Perlis serta Pulau Pinang.
Pembentangan melibatkan tiga proses dan prosedur kelulusan pelan pemajuan yang diperkenalkan kerajaan iaitu Industrial Green Lane (IGL), Prerequisite (PR) dan Self Regulation (SR). Turut diadakan adalah sesi latihan pelaksanaan Sistem OSC 3.0 Plus Online bagi inisiatif baharu kepada peserta-peserta seminar dan taklimat tersebut.
Inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan ini adalah bertujuan menambahbaik dan mengukuhkan kecekapan proses serta prosedur kelulusan pelan pemajuan di peringkat PBT.
Selain itu, turut diperkenalkan juga adalah inisiatif penambahbaikan yang telah dilaksanakan bermula tahun 2022 di MPSPK iaitu Fast Track 8 (FT8) selaras dengan hasrat Kerajaan Persekutuan dan Negeri Kedah, menekankan mengenai pelaksanaan penambahbaikan proses permohonan pemajuan di seluruh PBT.