14 JULAI 2024 (AHAD)

Program Durian Agro Tourism Fest Bandar Baharu Kedah 2024 telah berlangsung selama 4 hari bermula 11 Julai 2024 hingga 14 Julai 2024 bertempat di Dataran Bandar Baharu, Bandar Baharu, Kedah menampilkan daerah Bandar Baharu sebagai hab pelancongan agro khususnya Durian Duri Hitam.

Terdapat pelbagai produk jualan dan pameran daripada agensi/ jabatan daerah Bandar Baharu yang telah dipamerkan kepada para pengunjung yang hadir. Turut diadakan program dan aktiviti menarik seperti kuiz, cabutan bertuah, Forum Agama, pertandingan mewarna, pertandingan memancing udang galah, pertandingan gubahan hantaran, pertandingan memasak, persembahan artis dan buskers, senamrobik, cleanwalk sekitar persisiran Sungai Kerian, demo masakan, pertunjukan api, persembahan maskot serta lelongan buah durian.

Pegawai Daerah Bandar Baharu/ Yang Dipertua Majlis Daerah Bandar Baharu, Mohd Noor Bin Ismail berkata penganjuran program Durian Agro Tourism Fest kali kedua ini dapat membantu mempromosikan dan memperlihatkan pelbagai jenis durian dan produk yang ada kepada para pengunjung pelbagai negeri yang hadir seterusnya memeriahkan program ini.

Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah mencemar duli menyempurnakan Gimik Perasmian Penutup Durian Agro Tourism Fest Bandar Baharu 2024 yang berlangsung selama empat hari.

Hadir bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu, Prof. Dr. Ts. Muhammad Suffian Bin Yusoff dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Bin Hashim.

Terima kasih diucapkan kepada semua dif-dif jemputan yang hadir, petugas dari jabatan dan agensi yang terlibat serta para pengunjung yang hadir sepanjang program dijalankan.

Skip to content