06 Ogos 2024 – Program ‘Jom Tanam Pokok’ Daerah Kulim 2024 telah diadakan di Taman Cengal Indah, Kulim dengan penglibatan anggota MPKK, agensi kerajaan, pihak swasta, Ahli Jawatankuasa Puspanita Cawangan Kecil Daerah Kulim, komuniti setempat, NGO dan rakan-rakan strategik MPKK. Program pada pagi ini adalah anjuran bersama antara pihak MPKK, PUSPANITA Daerah Kulim dan disertai 38 orang sukarelawan dari Intel.

Program ini merupakan kesinambungan daripada pelancaran Penanaman Pokok Teduhan di bawah Program Pemuliharaan Alam Sekitar yang telah diadakan pada 10 Mac 2024 bertempat di Taman Tasik Putra, Kulim. Penanaman pokok akan melibatkan penglibatan Zon Ahli Majlis MPKK dengan penanaman spesis pokok Samanea saman (pokok hujan-hujan). Taman Cengal Indah, Kulim juga antara kawasan yang dipilih untuk penanaman pokok sebanyak 48 pokok.

Penanaman pokok teduhan di bawah Program Pemuliharaan Alam Sekitar Daerah Kulim bertujuan menepati skop utama Agenda Tempatan 21 (LA 21) iaitu alam sekitar, ekonomi dan sosial di mana konsep program adalah berbentuk gotong-royong menanam pokok mengikut pembahagian kumpulan yang bermatlamat untuk melahirkan generasi mempunyai sifat ‘cinta akan keaslian alam semulajadi’.

Yang Berbahagia Datin Azlina binti Md Zuki, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Kulim, dalam ucapannya berkata, “Dengan pertumbuhan penduduk dan permintaan tinggi kepada sektor eko-pelancongan, perkembangan pesat kawasan industri dan perumahan di Daerah Kulim seiring dengan Kulim ke arah sebuah bandar pintar dan berteknologi tinggi, sudah tentu kedudukan dan keaslian pokok-pokok juga perlu diuruskan dengan seimbang selari dengan arus pembangunan.

Oleh itu, pelaksanaan program penanaman pokok ini amatlah bersesuaian untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup, selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti di dalam Daerah Kulim.” Datin Azlina seterusnya merasmikan Program Jom Tanam Pokok Peringkat Daerah Kulim Tahun 2024.

Turut hadir, YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK; Encik Abdullah bin Che Ya, Ahli Majlis Zon 1; Encik Annuar bin Hassan, Ahli Majlis Zon 2 MPKK; Encik Rosman bin Ridzwan, People System Manager, Kulim Assembly & Test, Intel Kulim; Pengarah-Pengarah Jabatan MPKK, Ahli Jawatankuasa PUSPANITA Daerah Kuliim, wakil syarikat-syarikat swasta dan NGO dan rakan-rakan media tempatan.

Terima kasih kepada pihak yang terlibat serta semua komuniti yang hadir dalam menjayakan program ini!!

#ProgramJomTanamPokok

#MajlisPerbandaranKulim

Klik link untuk gambar sekitar program

Skip to content