MAJLIS PERASMIAN PUSAT PENERANGAN PELANCONGAN ALOR SETAR

21 Julai 2024, Alor Setar – Majlis Perasmian Pusat Penerangan Pelancongan Alor Setar yang telah diadakan pagi tadi bertempat di Dataran Medan Bandar, Alor Setar. Perasmian tersebut telah dirasmikan oleh EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, YB Dato’ Mohd Salleh bin Saidin diiringi Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Haji Md Daud.
 
Pusat Penerangan Pelancongan Alor Setar ini berfungsi sebagai satu platform pusat sehenti yang memberikan maklumat dan panduan kepada para pelancong. Dengan adanya pusat penerangan pelancongan ini, maklumat mengenai produk-produk pelancongan tempatan mudah diperolehi dengan tepat dan terkini seperti destinasi-destinasi menarik, acara-acara kebudayaan serta lain-lain aktiviti pelancongan yang terdapat di Alor Setar.
 
Selain itu, buku Alor Setar “Liveable & Historical City” akan diterbitkan secara meluas dalam masa terdekat untuk dijadikan panduan berguna kepada para pelancong yang ingin mengenali keindahan dan keunikan destinasi-destinasi pelancongan yang terdapat di Bandar Raya Alor Setar. Buku ini bukan sahaja memberikan maklumat yang komprehensif, tetapi juga menyajikan pengalaman yang mendalam serta panduan yang praktikal kepada pelancong.
 
Usaha mempromosikan Bandar Raya Alor Setar melalui inisiatif kempen “Mai Singgah Alor Setar 2024” akan diteruskan. Langkah ini juga sejajar dengan Kerajaan Negeri Kedah untuk menganjurkan Tahun Melawat Kedah 2025.
 
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Fauzi bin Mustaffa; Pengurus Besar Tourism Kedah, En. Azlizam bin Jaafar Sidik dan Tuan Setiausaha MBAS, En. Nasrankamil bin Noh.
 
Skip to content