4-5 OGOS 2024 (AHAD-ISNIN)

Program Jalinan Muafakat yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Yan dengan kerjasama pelbagai agensi adalah sebagai satu wadah program kemasyarakatan, kesukanan dan seterusnya bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara satu sama lain. Program ini dimulai seawal jam 7:30 pagi dengan sesi pendaftaran oleh peserta seramai 150 orang di Dewan Masjid Al-Wustha, Guar Chempedak.

Program ini dimulakan dengan pertandingan sukan dalaman iaitu acara Badminton, Karom, Pingpong dan Dart. Acara sukan tersebut disertai oleh Ahli Majlis MDY, Kakitangan Majlis Daerah Yan dan PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan. Pada hari kedua program, acara program dimulai dengan fun walk dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Yan melalui program Fit@Komuniti. Fun Walk sejauh 3KM bermula dari Masjid Al-Wustha berjalan ke Sungai Batu 18 dan penamat di Masjid semula.

Seterusnya, peserta bergotong royong dalam penyediaan Bubur Asyura yang melibatkan keseluruhan peserta dan juga dari Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Yan, PEMADAM Daerah Yan, Pandu Puteri dan PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan. Objektif program ini adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam sesama masyarakat serta menghayati Bulan Kebesaran Islam (Bulan Muharam) sebagai azam baru untuk memperbaiki diri.

Diantara pengisian Program Jalinan Muafakat ini juga adalah Ziarah Kasih. Sebanyak 20 orang penerima telah dipilih daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas yang tidak berkemampuan dan Orang Kurang Upaya (OKU). Program ini juga dilaksanakan bertujuan untuk menanamkan rasa prihatin dan memperkukuhkan hubungan baik sedia ada bersama masyarakat terutama golongan yang memerlukan melalui sumbangan secara terus disamping menerapkan perasaan empati terhadap golongan yang kurang berkemampuan dan tidak bernasib baik.

Acara penutup Program Jalinan Muafakat adalah dengan penyampaian tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Al-Fadzil, Ustaz Mohamad Nizam bin Mohamad Noh, Imam Masjid Al-Wustha, Guar Chempedak. Seterusnya, ucapan penutup dan penyampaian hadiah oleh Yang Berusaha Puan Maznim binti Ismail, AMK, BCK. Pengawai Daerah Yan merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Yan.

Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan) merangkap Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan, Cik Afifah binti Mohd Asri, Ahli-ahli Majlis, Majlis Daerah Yan, Penghulu Mukim Yan, Dulang dan Sungai Daun, Penolong AMIL Masjid Al-Wustha, Ahli PUSPANITA Daerah Yan, Ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, PEMADAM Daerah Yan serta pegawai dan kakitangan Majlis Daerah Yan dan Pejabat Daerah dan Tanah Yan.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada semua jabatan/agensi atas segala sumbangan dan kerjasama yang diberikan dalam memastikan kelancaran dan kejayaan program ini.

Skip to content