BUAL BICARA BERSAMA KOMUNITI TANJUNG DAWAI

Buah salak di dalam kantung, Kulitnya keras isinya kelat; Bulat air kerana pembetung, Bulat manusia kerana muafakat.

Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) antara agensi kerajaan yang turut serta dalam Hari Bertemu Pelanggan anjuran Pejabat Daerah Kuala Muda di Pantai Rhu Tanjung Dawai pagi ini.

Hadir mengiringi Pegawai Daerah Kuala Muda Dato’ Haji Abdul Gafar Bin Yahya ialah Yang Dipertua MPSPK YM Tunku Iskandar Shah Bin Tunku Muszaffar Shah. Turut hadir Setiausaha MPSPK Puan Noorulhuda binti Mohammed Ali, Ahli-Ahli Majlis, Pengarah-Pengarah Jabatan dan Ketua-Ketua Bahagian MPSPK.

Perasmian program disempurnakan oleh Ketua Polis Kedah YDH CP Dato’ Fisol bin Salleh. Program berlangsung meriah dengan adanya aktiviti seperti solat subuh berjemaah di Masjid Haji Zainuudin, berjalan 10,000 langkah ke Balai Polis Tanjung Dawai, pertunjukan silat, pertandingan membina istana dan juga pameran-pameran agensi kerajaan dan swasta.

Program bertambah meriah dengan adanya gerai-gerai jualan makanan, minuman dan barangan-barangan lain. Program diteruskan dengan inisiatif sumbangan berbentuk bakul makanan asas disampaikan oleh Yang Dipertua MPSPK dalam program pagi tadi yang menyasarkan penduduk kurang berkemampuan. Yang Dipertua MPSPK turut tidak ketinggalan mengambil peluang untuk menyantuni dan beramah mesra dengan penduduk setempat tanpa mengambil kira umur dan latar belakang mereka.

Program tidak berakhir setakat itu sahaja. Satu sesi bual bicara bersama Yang Dipertua MPSPK bersama Komuniti Tanjung Dawai turut berlansung setelah selesai majlis perasmian. Yang Dipertua MPSPK dalam ucapannya berharap pelancong-pelancong yang melawat Tanjung Dawai dapat menjaga kebersihan pantai ini.

Jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian terlibat juga menyambut baik sebarang pertanyaan yang diajukan penduduk setempat. Sesi bual bicara berakhir sekitar jam 1.00 petang dan diteruskan pula dengan lawatan ke gerai-gerai penjaja oleh Yang Dipertua MPSPK.

Sumber gambar : Polis Diraja Malaysia, Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Muda & Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah

Skip to content