KEDAH LANCAR TAHUN MELAWAT KEDAH 2025 DENGAN TEMA 'EXPERIENCE KEDAH'
9 Ogos 2024, Kuala Lumpur – Kerajaan Negeri Kedah telah melancarkan Tahun Melawat Kedah 2025 dengan tema “Experience Kedah” bertempat di Dataran Menara Kuala Lumpur, semalam.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata ‘Experience Kedah’ diangkat sebagai tema rasmi Tahun Melawat Kedah 2025 menjanjikan pelbagai pengalaman menarik kepada para pelancong yang berkunjung ke negeri itu.
“Kerajaan Negeri Kedah bersama Kedah Tourism telah menetapkan 5 komponen utama yang akan diberi penekanan iaitu sumber alam semulajadi, gastronomi, seni, budaya dan sejarah.
“Tema kempen ‘Experience Kedah’ adalah ajakan atau pelawaan oleh orang Kedah yang sinonim dengan ‘keloi ajak mai’ buat pelancong untuk datang dan merasai sendiri pengalaman Kedah yang sebenar yang tidak akan dapat dinikmati di tempat lain.
Beliau berkata demikian ketika ucapan Pelancaran Tahun Melawat Kedah 2025 di Menara Kuala Lumpur, semalam.
Tambah beliau lagi, melalui laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kedah memiliki potensi yang luar biasa dalam pembangunan pelancongan serantau apabila berada kedudukan ke-5 dari segi jumlah kehadiran pelancong bagi tahun 2023.
“Dengan kehadiran 6.45 juta pelancong, kita berada di belakang Johor, Selangor, Pahang dan Perak, tetapi di hadapan lapan negeri dan wilayah lain.
“Angka ini, dan angka pada tahun-tahun sebelumnya, merangsang keyakinan kita bahawa Kedah mampu menarik lebih ramai pelancong pada tahun 2025, ujarnya”
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'