BERITA : 29 SEPTEMBER 2024 (AHAD)
SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA PERINGKAT DAERAH BANDAR BAHARU TAHUN 2024
Acara Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Daerah Bandar Baharu Tahun 2024 telah berlangsungdengan meriah dan jayanya pada 29 September 2024 (Ahad) bermula jam 7.00 pagi hingga 1.00 petang bertempat di Pekan Serdang, Kedah (berhadapan Heong Leong Bank).
Acara dimulakan dengan ketibaan dif-dif kehormat yang terdiri daripada Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, ADUN Bandar Baharu, ketua-ketua jabatan kerajaan dan agensi-agensi penguatkuasaan terlibat dan ketibaan Tuan Pegawai Daerah Bandar Baharu merangkap Tuan Yang Dipertua Majlis Daerah Bandar Baharu yang dibawa khas dengan kenderaan jabatan ke pentas utama.
Acara diteruskan dengan gimik pertunjukan udara dan penyerahan bendera Jalur Gemilang oleh wakil pasukan Paramoto Malaysia Utara kepada Tuan Pegawai Daerah Bandar Baharu.
Acara diteruskan lagi dengan acara persembahan pembukaan oleh Pancaragam SMK Sultanah Asma yang dibawa khas dari Alor Setar, Kedah bagi memeriahkan program kali ini.
Setelah itu, acara perbarisan dan perarakan kontinjen-kontinjen yang disertai oleh pelbagai penyertaan daripada jabatan-jabatan kerajaan, ATM serta agensi-agensi penguatkuasaan, sekolah-sekolah rendah dan menengah, ngo, persatuan, kelab-kelab permotoran, dan acara kemuncak adalah pertunjukan perarakan gajah yang dibawa khas oleh Jabatan Perhilitan Kuala Gandah, Pahang Darul Makmur.
Setelah selesai acara perbarisan, pertunjukan persembahan sajak daripada wakil kakitangan Majlis Daerah Bandar Baharu dan Pejabat Daerah Bandar Baharu serta pertunjukan tarian kebudayaan daripada wakil pelajar-pelajar sekolah rendah dalam Daerah Bandar Baharu.
Setelah itu, pertunjukan seni silat daripada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan (PSSGM KEB) Bandar Baharu, Kedah yang menampilkan pelbagai aksi menarik dan memukau para penonton yang hadir pada program tersebut.
Setelah selesai persembahan, acara kemuncak penyampaian hadiah kepada para pemenang acara perbarisan dan perarakan mengikut kategori masing-masing serta sesi bergambar kenang-kenangan.
Majlis Daerah Bandar Baharu sekali lagi mendapat Johan dalam kategori perbarisan jabatan kerajaan, tahniah diucapkan..!!!
Program Sambutan Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia Peringkat Daerah Bandar Baharu Tahun 2024 kali ini telah berjaya mencapai objektif dan mendapat tempat di hati warga Daerah Bandar Baharu amnya.
Merdeka..merdeka…merdeka..!!!