17 Oktober 2024 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) menerima kunjungan hormat dan lawatan kerja daripada Majlis Perbandaran Dungun (MPD). Delegasi ini diketuai oleh Tuan Mohd Rashdan bin Muda, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun (MPD).

YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK dalam ucapan aluannya berkongsi tentang pencapaian E10 khususnya yang melonjakkan daerah Kulim Kedah menjadi sebutan di dalam dan luar negara. Dalam memacu negara Malaysia, sesebuah organisasi perlu melengkapkan antara satu sama lain serta tidak bermotifkan persaingan. Beliau menekankan kepentingan kerjasama antara jabatan dan agensi luar untuk membangun bersama. Di samping itu, sumber manusia sangat penting dalam menggerakkan segala aktiviti perancangan dan sebagainya untuk menuju ke arah kejayaan tersebut.

Lawatan kerja daripada delegasi ini bertujuan untuk mempelajari dan sesi perkongsian pengalaman MPKK dalam melaksanakan Inisiatif E10 yang tertumpu kepada strategi, cabaran, dan kejayaan inisiatif tersebut.

E10 merupakan satu inisiatif bagi pengeluaran permit pembinaan secara pantas, membolehkan interaksi yang berkesan di antara pelabur dan Pihak Berkuasa Tempatan. Memudahkan kerja-kerja pembinaan dan akhirnya pengeluaran produk dapat dikeluarkan mengikut garis masa yang telah ditetapkan tanpa kelewatan.

Sesi taklimat inisiatif usaha MPKK dalam mempercepatkan peningkatan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi E10 telah disampaikan TPr. Haji Hamzah Bin Ab Halim, Pengarah Jabatan Perancangan dan Landskap MPKK.

Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan demi menambah baik mutu penyampaian dan perkhidmatan dalam agenda pembangunan industri.

Majlis Perbandaran Dungun

#MajlisPerbandaranKulim

#KulimSmartCity

#KulimIndustrialCorridor

#thegreaterkedah

Skip to content