Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPK) dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses pemajuan serta pembinaan bangunan di kawasan Kulim bagi tujuan untuk mempercepatkan pengeluaran permit dan kelulusan projek pembinaan dengan mengurangkan birokrasi, memperkukuh kerjasama antara agensi, dan meningkatkan daya saing perniagaan serta pelaburan di daerah tersebut telah memperkenalkan satu inisiatif iaitu E10. Kini MPKK mula melaksanakan versi terkini, iaitu E10 Plus dengan menggunakan teknologi semasa seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Sistem Pangkalan Data Bersepadu Kulim (KIDs) untuk menambah baik proses kelulusan dan pengurusan projek.

Pelbagai manfaat telah dapat dihasilkan dengan inisiatif E10. Sebelum pengenalan E10, proses kelulusan biasa boleh memakan masa sehingga 24 bulan. Melalui E10, tempoh ini dikurangkan kepada 10 bulan atau lebih pendek bergantung pada keperluan projek. Inisiatif ini terdiri daripada beberapa peringkat, bermula dari E10 1.0 pada tahun 2020, yang merangkumi permit pembinaan di atas tapak sedia ada hingga E10 2.0 pada tahun 2022 yang melibatkan pembangunan tanah termasuk infrastruktur dan utiliti.

Versi terkini, E10 Plus membawa inovasi dengan integrasi Data Geospatial iaitu Kulim Intergrated Database System (KIDs) dan Kecerdasan Buatan (AI). KIDs merupakan sistem maklumat geospatial yang memudahkan akses dan pengurusan data spatial bagi pihak berkuasa tempatan. AI pula digunakan dalam pelbagai aktiviti seperti semakan dokumen, penilaian pelan cadangan pemajuan, dan pengiraan fi dan caj-caj berkaitan dengan pemajuan. Dengan teknologi ini, MPKK dapat mengurangkan beban kerja manual, mempercepatkan proses kelulusan dan meningkatkan ketelusan serta ketepatan dalam membuat keputusan.

Dengan versi terkini E10 Plus bukan sahaja menumpukan kepada kelulusan cepat tetapi juga memastikan pembangunan yang berkualiti dan lestari. Melalui penggunaan KIDs, maklumat mengenai tanah dan pelan susun atur dapat diakses dengan mudah untuk perancangan yang lebih baik. Termasuk pemendekan tempoh kelulusan melalui permohonan serentak. Pemaju boleh menyerahkan pelbagai pelan dalam format digital seperti Kebenaran Merancang, Pelan Kerja Tanah, Pelan Jalan Parit dan Pelan Bangunan secara serentak dan ianya diproses secara digital serta dibuat semakan secara auto, memperkukuh koordinasi antara MPKK dengan agensi teknikal lain seperti Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Bangunan serta agensi luaran utama seperti Plan Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tenaga Nasional Berhad/NUR, SADA dan Jabatan Alam Sekitar.

AI dalam E10 Plus membantu memudahkan pemprosesan data, penilaian dokumen serta semakan pelan-pelan cadangan pemajuan dan pelaksanaan kerja, penyediaan laporan berkaitan dengan aktiviti yang terlibat dalam proses di pelbagai peringkat kelulusan cadangan pemajuan, Pengiraan caj-caj berkaitan dengan cadangan pemajuan dan pemantauan projek juga dapat dilaksanakan secara pintar.

Dalam pada itu, inisiatif E10 Plus telah membuahkan hasil kepada beberapa projek seperti Aspen Glove dan Ferrotec Manufacturing di Kulim sebagai contoh, kejayaan E10 Plus. Dengan pelaburan melebihi RM280 juta dan RM850 juta, projek ini berjaya disiapkan dalam tempoh kurang daripada 10 hingga 12 bulan berbanding tempoh biasa 24 bulan. Begitu juga dalam konteks pemajuan berkaitan dengan pembangunan tanah seperti KHTP4A dan Northen Industrial Kulim Park (NIKP) adalah merupakan projek yang menggunakan insiatif E10 2.0 berserta dengan E10 Plus dalam proses kelulusan dan pelaksanaannya. Ini menunjukan keberkesanan E10 Plus dalam mempercepatkan pembangunan, meningkatkan daya tarikan pelaburan dan membuka peluang pekerjaan baharu.

Walaupun inisiatif ini membawa banyak manfaat, namun begitu terdapat cabarannya termasuk keperluan untuk memastikan semua pihak berkepentingan memahami dan menerima perubahan kepada proses digital. Latihan dan penyesuaian kepada teknologi baharu seperti KIDs dan AI diperlukan bagi memastikan penggunaannya dapat dioptimumkan. Tambahan pula, koordinasi yang lebih rapat antara pelbagai agensi adalah perlu bagi mengelakkan pertindihan tugas dan memastikan kelancaran proses. Penyediaan prasarana ICT yang bersesuaian di semua agensi teknikal dalaman dan luaran juga perlu dilihat dan diberikan keutamaan.

Inisiatif E10 Plus merupakan langkah penting bagi MPKK dalam mempercepatkan proses pembangunan dan meningkatkan daya saing daerah Kulim sebagai pusat pelaburan industri. Dengan pendekatan bersepadu yang menggabungkan peraturan tangkas, teknologi AI dan sistem digital, MPKK dapat memberikan perkhidmatan yang lebih efisien dan responsif kepada pelabur dan pemaju. Melalui penyelarasan yang baik, sokongan teknologi dan konsultasi yang berterusan, E10 Plus membuktikan keupayaannya untuk mengubah landskap pembangunan perbandaran dan mewujudkan persekitaran yang lebih mesra perniagaan.

Klik untuk gambar sekitar program

#MajlisPerbandaranKulim

#WartaKedah

#thegreaterkedah

#KedahSejahteraNikmatUntukSemua

#e10mpkk

#KulimSmartCity

Skip to content