PROGRAM GOTONG-ROYONG BERSIH, INDAH DAN CERIA, SERTA WALKABOUT YDP DI KOMPLEKS SP PLAZA

Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) telah menganjurkan Program Gotong-Royong Bersih, Indah dan Ceria bertempat di Kompleks SP Plaza, Sungai Petani.

Program ini telah dirasmikan oleh YM Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muszaffar Shah, Yang Dipertua MPSPK. Turut hadir adalah Setiausaha MPSPK, Puan Noorulhuda binti Mohammed Ali, Ahli-Ahli Majlis, Pengarah-Pengarah Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian, kakitangan MPSPK, serta wakil komuniti dan peniaga-peniaga sekitar.

Program ini bertujuan memupuk semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan serta keindahan kawasan persekitaran. Aktiviti utama yang dilaksanakan termasuk mengecat semula “road curb”, kerja-kerja pemangkasan pokok, serta pemungutan sampah di sekitar Kompleks SP Plaza.

Selain itu, YM Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muszaffar Shah, Yang Dipertua MPSPK, menjalankan sesi pemantauan di sekitar Kompleks SP Plaza bagi mengenal pasti aspek yang memerlukan penambahbaikan, termasuk kebersihan, penyelenggaraan kemudahan awam, dan kelancaran laluan pengunjung. Usaha ini mencerminkan komitmen MPSPK untuk memastikan Kompleks SP Plaza terus menjadi kawasan strategik yang kondusif dan mesra pengguna.

Yang Dipertua juga turut berkesempatan melaksanakan lawatan ke premis perniagaan Kumpulan Syarikat EMZI yang terletak di Kompleks SP Plaza. Lawatan ini bertujuan meninjau perkembangan operasi perniagaan serta memastikan kemudahan di kawasan sekitar berada dalam keadaan baik dan memenuhi keperluan peniaga serta pengunjung.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk Koridor Utara Holding Sdn Bhd, Zaki Design & Partner, Haterah & Co., Pejabat Tenaga Kerja Sungai Petani, Kumpulan Syarikat Emzi, MBH Consultancy & Management, Pesuruhjaya Sumpah Nur Shalini, Bundle Malam SP Plaza, Dol Two Enterprise, Persatuan Peniaga Malam SP Plaza, Persatuan Kedai-Kedai SP Plaza dan kakitangan MPSPK yang telah menjayakan program ini. Tidak dilupakan ucapan tahniah kepada Jabatan Penilaian Dan Pengurusan Harta atas penganjuran program yang amat bermakna ini.

Semoga usaha ini menjadi inspirasi untuk meneruskan inisiatif yang membawa manfaat berpanjangan kepada masyarakat dan persekitaran.

Klik untuk video sekitar program
Klik untuk gambar sekitar program

Skip to content