27 SEPTEMBER 2021 (ISNIN)

MESYUARAT JAWATANKUASA PERANCANG NEGERI KEDAH KALI KE 160 (3/2021)

Mesyuarat dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Bandar Baharu, Tuan Mohamad Subhi Bin Abdullah, AMK., BCK., bersama Setiausaha MDBB, En. Muhammad Afnan Bin Mohd Roze dan Ketua Bahagian Perancangan Pembangunan MDBB, En. Shaiful Bin Ismail secara maya melalui aplikasi Zoom bermula jam 10.00 pagi.

Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Kedah Darul Aman Kali Ke 160 (3/2021) dipengerusikan oleh Y.A.B. Menteri Besar Kedah, Tuan Haji Muhammad Sanusi Bin Md. Nor dan sebanyak 54 wakil terdiri daripada Exco-Exco Negeri Kedah, Pejabat-Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan-Jabatan Teknikal Negeri Kedah turut hadir bersama dalam mesyuarat secara atas talian pada kali ini.

Mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa dan aluan pengerusi yang memaklumkan bahawa negeri Kedah masih berada di Fasa 1 disebabkan peratusan katil ICU untuk pesakit COVID-19 masih belum mencapai peratusan yang dikehendaki iaitu di skala 70 peratus ke bawah. Oleh yang demikian, negeri Kedah bekerjasama dengan bantuan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membuka lebih banyak medan sementara untuk menampung katil-katil ICU bagi membolehkan negeri Kedah beralih ke Fasa 2 dengan kadar segera.

Y.A.B Tuan Pengerusi juga memaklumkan Y.A.B Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob telah turun padang melawat kawasan bencana banjir kepala air yang telah mengorbankan 6 nyawa dan melibatkan 2,000 penduduk terjejas di Yan, Kedah. Sehubungan itu, negeri Kedah telah menerima peruntukan sebanyak 75 juta bagi menyelenggara dan membaikpulih kawasan berkenaan serta tambahan peruntukan sebanyak 38 juta untuk membaiki infrastruktur dan prasarana yang telah terlibat dalam kerosakan akibat bencana tersebut.

Tuan Pengerusi juga memaklumkan Pulau Langkawi telah dibuka pada 16 September 2021 yang lalu untuk aktiviti perhotelan, produk pelancongan, sukan air dan sebagainya dengan pematuhan SOP yang ketat untuk semua pelancong bagi membudayakan norma baharu dalam menghadapi fasa endemik ini.

Mesyuarat diteruskan dengan menerima dan mengesahkan minit mesyuarat serta membincangkan maklumbalas Minit Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Kali Ke 159 (2/2021) bertarikh 05 Julai 2021 yang lalu. Di samping itu, sebanyak 1 Kertas Kerja Dasar, 2 Kertas Kerja Penggantian / Pengubahan Rancangan Tempatan dan 2 Kertas Kerja Pemakluman Mesyuarat telah dibentangkan untuk mendapat kelulusan mesyuarat kali ini.

Akhir sekali, Y.A.B Tuan Pengerusi mengucapkan terima kasih kepada semua ahli mesyuarat yang hadir dan berharap semua pihak dapat bekerjasama dengan baik dan lebih bersemangat untuk meningkatkan lagi pembangunan di negeri Kedah pada masa akan datang.

Skip to content