28 SEPTEMBER 2021 (SELASA)

MESYUARAT JAWATANKUASA TETAP HAL EHWAL KERAJAAN TEMPATAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN BILANGAN 2 TAHUN 2021 SECARA DALAM TALIAN

Mesyuarat dipengerusikan oleh Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohd Hayati Bin Othman , Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Kedah secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom bermula jam 10.00 pagi.

Mesyuarat dihadiri oleh Tuan Mohamad Subhi Bin Abdullah, AMK., BCK., Tuan Yang Dipertua Majlis Daerah Bandar Baharu bersama Setiausaha, Ketua Bahagian Perancangan Pembangunan dan Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan & Korporat MDBB.

Yang Berhormat Tuan Pengerusi memaklumkan berkenaan infrastruktur dan prasarana yang musnah akibat bencana kepala air yang berlaku di Yan, Kedah telah dalam proses pembaikan dan penaiktarafan yang sedang berjalan dengan lancar.

Seterusnya, Yang Berhormat Tuan Pengerusi memaklumkan pemberian vaksin keseluruhan di negeri Kedah telah mencapai 60 peratus dan kebanyakan PPV juga akan mula ditutup sekitar pertengahan bulan Oktober 2021. Yang Berhormat Tuan Pengerusi juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua Pegawai Daerah di Negeri Kedah yang telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan Program Pemberian Vaksin Secara Outreach yang lebih dekat dengan penduduk setempat dan mempercepatkan lagi suntikan vaksin COVID-19 ini.

Yang Berhormat Tuan Pengerusi juga memaklumkan Kempen Tanpa Beg Plastik telah dilaksanakan sepenuhnya bermula 1 Januari 2021 dan memohon supaya semua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah dapat menghebahkan kempen tersebut kepada para peniaga di Daerah masing-masing.

Mesyuarat diteruskan dengan taklimat pembentangan daripada pihak Polis Diraja Malaysia Negeri Kedah, Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Kedah serta Jabatan Kesihatan Negeri Kedah. Seterusnya pengesahan Minit Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Kerajaan Tempatan Negeri Kedah Darul Aman Bil. 1 Tahun 2021 dan perbincangan perkara-perkara berbangkit.

Akhir sekali, Yang Berhormat Tuan Pengerusi mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Mesyuarat yang hadir secara dalam talian dan menangguhkan mesyuarat pada jam 12.40 tengahari.

Skip to content