11 NOVEMBER 2021 (KHAMIS)

PROGRAM EXECUTIVE TALK PERUNDANGAN PERANCANGAN (AKTA PERANCANGAN BANDAR DAN DESA 1976 [AKTA 172] ) BERSAMA AHLI-AHLI MAJLIS PBT NEGERI KEDAH SEMPENA SAMBUTAN HARI PERANCANGAN BANDAR SEDUNIA (HPBS) TAHUN 2021 PERINGKAT NEGERI KEDAH

Program Executive Talk Perundangan Perancangan (Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 [Akta 172] ) anjuran PLANMalaysia Bersama PLANMalaysia Kedah, Bahagian Kerajaan Tempatan serta Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah bertujuan memberi hebahan kepada Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kedah berkaitan peranan dan fungsi perancangan khususnya melibatkan perkara-perkara berkaitan peruntukan Akta 172 dalam memacu, menggalakkan dan mengawal pembangunan bagi mencapai pembangunan mampan di Kawasan PBT.

Program ini juga diadakan sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Tahun 2021 Peringkat Negeri Kedah dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan peserta-peserta program hendaklah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 bagi menghadiri program ini.

Tuan Pegawai Daerah Bandar Baharu / Yang Dipertua Majlis Daerah Bandar Baharu, Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah, AMK., BCK turut berkesempatan menyertai program ini bersama-sama Setiausaha, Ahli-Ahli Majlis (Politik dan ex officio) dan Ketua-Ketua Bahagian/Unit Majlis Daerah Bandar Baharu berkaitan bertempat di Grand Ballroom, Raia Hotel & Convention Centre Alor Setar, Kedah Darul Aman bermula jam 9.00 pagi.

Dengan ketibaan tetamu-tetamu kehormat iaitu Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, program dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Allah Selamat Sultan dan bacaan doa.

Program diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Berbahagia Datuk M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan seterusnya ucaptama oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, SPMK., AMK., Menteri Besar Kedah.

Program kemudiannya diteruskan lagi dengan Tayangan Montaj dan Gimik Perasmian Program serta Tayangan Dokumentari Morfologi Bandar Alor Setar Kedah.

Agenda program seterusnya ialah penyampaian Executive Talk bertajuk Memahami Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] iaitu Peranan Ahli-Ahli Majlis dalam Memacu Pembangunan Mampan di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan oleh Pengurusan PLANMalaysia.

Program diakhiri dengan penyampaian Anugerah Bandar Mampan Tahun 2020 Peringkat Negeri Kedah dan Penyampaian Cenderahati oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, SPMK., AMK., Menteri Besar Kedah.

Skip to content