Kajian Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Majlis Daerah Yan, Kedah 2035 (Penggantian) ini telah diadakan pada 20 dan 21 Mac 2022 jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang bertempat di Dewan D’Yan Chalet, Titi Hayun, Yan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.
Kajian Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Majlis Daerah Yan, Kedah 2035 (Penggantian) ini bertujuan untuk menghasilkan dokumen rancangan pembangunan baharu bagi menggantikan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Majlis Daerah Yan 2020.


Rancangan pembangunan peringkat daerah bagi tempoh 15 tahun ini berperanan sebagai dokumen rujukan dan panduan serta pemangkin hala tuju pembangunan Daerah Yan dalam tempoh jangka panjang iaitu sehingga tahun 2035 yg turut berfungsi sebagai medium kawalan perancangan dan panduan pelaksanaan projek-projek infrastruktur dan fizikal serta sosio – ekonomi bagi pelbagai jabatan / agensi kerajaan, para pelabur / pemaju swasta, semua pemegang taruh dan pihak berkepentingan (stakeholders).


Kos projek untuk penyediaan Kajian Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Majlis Daerah Yan, Kedah 2035 (Penggantian) ini dibiayai melalui peruntukan kewangan Kerajaan Persekutuan yang diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU).
Selain itu, pihak Kerajaan Negeri Kedah dan Majlis Daerah Yan (MDY) juga turut menyalurkan sejumlah peruntukan khas bagi menampung kos pengurusan kajian ini. Tempoh kajian yang melibatkan 12 bulan ini akan menghasilkan 4 laporan utama untuk tindakan selanjutnya.


Mesyuarat verifikasi data dan maklumat gunatanah semasa ini sangat penting perlu diadakan terlebih dahulu bagi penyediaan dan pengesahan data – data dan maklumat – maklumat asas daerah sebelum ianya dikemukakan kepada pihak perunding yang bakal dilantik kelak untuk tindakan selanjutnya.
Mesyuarat yang diadakan selama 2 hari ini bertujuan untuk mengenalpasti dan mengesahkan data dan maklumat gunatanah semasa di Daerah Yan oleh jabatan / agensi berkaitan bagi memastikan pelbagai data dan maklumat yang diperlukan adalah tepat dan terkini.


Sekalung penghargaan dan setinggi – tinggi ucapan terima kasih dirakamkan kepada pihak Pejabat Projek Zon Utara (PPZU) , PLANMalaysia@Kedah, JUPEM, MADA, JPS, Pejabat Tanah Daerah Yan, Jabatan Pertanian, Bahagian Maklumat Gunatanah Negara (BMGN) PLANMalaysia Putrajaya, para Penghulu Mukim Daerah Yan dan wakil Majlis Daerah Yan (MDY) sendiri iaitu dari Jabatan Perancangan dan Landskap serta Unit Pusat Setempat (OSC) MDY dan pelbagai jabatan / agensi atas segala sumbangan dan komitmen padu yang diberikan dalam menjayakan mesyuarat verifikasi ini.

Skip to content