22 MAC 2022 (SELASA)

Majlis Pengurniaan dan Sumbangan Persekolahan Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) Bagi Sesi 2022 Daerah Yan ini diadakan pada jam 11.30 pagi bertempat di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah dan Tanah Yan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.
Majlis Pengurniaan dan Sumbangan ini dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Tuan Syeikh Alwi Bin Othman, Pegawai Agama Daerah Yan dan disusuli dengan ucapan aluan oleh Pegawai Daerah Yan, Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah, AMK., BCK.


Majlis Pengurniaan dan Sumbangan Persekolahan ini telah disempurnakan oleh Yang Maha Mulia Che Puan Besar Hajah Haminah binti Haji Hamidun, Che Puan Besar Kedah kepada 20 orang penerima yang terdiri daripada anak-anak yatim dari semua lima mukim di Daerah Yan iaitu Mukim Sala Besar (6 orang), Yan (5 orang), Sungai Daun (4 orang), Dulang (3 orang) dan Singkir (2 orang) yang terdiri dari 7 orang murid sekolah rendah dan 13 orang pelajar sekolah menengah dari Daerah Yan.


Sumbangan yang diberikan termasuklah kelengkapan persekolahan, wang tunai dan hamper.
Turut hadir dalam Majlis ini ialah Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah [YBhg. Dato Rosli Bin Awang], Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan [Puan Amila Binti Ahmad], Pengurus Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah [Tuan Haji Rosli Bin Zainal], Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan Tanah) / Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan [Puan Noorul Azyyati Binti Ahmad Salmi, BCK.], Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) [Encik Mohd Akmal Bin Azimi], Penolong Pegawai Daerah (Pendaftaran) [Encik Mohammad Afifi Bin Mohammad], Pegawai Agama Daerah Yan [Tuan Syeikh Alwi Bin Othman, BCK.], Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda / Yan [Puan Najah Binti Abd Wahab], Pegawai Kesihatan Daerah Yan [Dr. Siti Rohana Binti Ahmad], Ketua Polis Daerah Yan [DSP Shahnaz Akhtar Bin Haji], Ketua Whip / Ahli Majlis Daerah Yan (MDY), [Tuan Abd Hamid Bin Saad], semua Penghulu Mukim Daerah Yan serta Ahli-ahli Jawatankuasa serta warga PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan selaku urus setia bersama Majlis tersebut.


Menjunjung Kasih kepada Yang Maha Mulia Che Puan Besar Hajah Haminah binti Haji Hamidun , Che Puan Besar Kedah atas pengurniaan dan sumbangan persekolahan tersebut.
Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih juga dirakamkan kepada Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH), semua jabatan / agensi berkaitan , seluruh warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah Yan, Majlis Daerah Yan serta PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan yang terlibat membantu dalam mengurus dan menjayakan Majlis Pengurniaan dan Sumbangan pada hari ini.


Semoga sumbangan tersebut dapat membantu para penerima sumbangan berkenaan serta keluarga masing-masing dalam membuat persediaan dan persiapan bagi sesi persekolahan tahun 2022/2023 yang baru bermula.

Skip to content