10 APRIL 2022 (AHAD)

Sesi kunjung hormat Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Yan ini telah diadakan pada 10 April 2022 (Ahad) jam 3.00 petang bertempat di Pejabat Tuan Pegawai Daerah Yan, Pejabat Daerah dan Tanah Yan.


Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Yan, Encik Mohd Hafiz Bin Abu Hassan telah bertemu dengan Tuan Pegawai Daerah Yan, Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah, AMK., BCK. bagi menerangkan dengan lebih lanjut tentang latar belakang Majlis Belia Daerah (MBD) Yan yang telah ditubuhkan dan didaftarkan pada 11 September 2008.


Antara badan gabungan MBD Yan termasuklah MAYC Kawasan Jerai, Gerakan Belia 4B Malaysia Kawasan Jerai, Kelab Rakan Muda Kawasan Jerai, Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Yan dan GPMS Kawasan Jerai dengan keseluruhan keahlian MBD Yan berjumlah 2196 orang.


Sepanjang tahun 2021, sebanyak 67 program berjaya dianjurkan dan disertai oleh MBD Yan melibatkan pelbagai aktiviti antaranya termasuklah sosial, keagamaan, sukan, alam sekitar, gotong – royong dan misi bantuan bencana melibatkan seramai 1086 orang belia.


Selain itu, Pengerusi MBD Yan turut berkongsi tentang pelbagai perancangan program dan aktiviti yang dijangka dilaksanakan sepanjang tahun 2022 kepada Tuan Pegawai Daerah Yan.


Semasa sesi kunjung hormat ini juga, Tuan Pegawai Daerah Yan turut menerima Watikah Pelantikan sebagai Penaung, Majlis Belia Daerah (MBD) Yan yang disampaikan oleh Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Yan. Turut hadir dalam sesi kunjung hormat ini ialah Encik Mohd Firdaus Bin Ahmad (Timbalan Pengerusi MBD Yan) dan Encik Mohd Izham Bin Romli (Setiausaha MBD Yan).


Semoga sesi pertemuan ini, walaupun ringkas tetapi sangat bermakna, membuka lembaran baru dalam memacu hala tuju dan mencorakkan pembangunan belia Daerah Yan pada masa hadapan dalam tempoh jangka panjang.

Skip to content