26 APRIL 2022 (SELASA)

MESYUARAT MAJLIS PENUH MAJLIS DAERAH BANDAR BAHARU BILANGAN 4 TAHUN 2022

Mesyuarat Majlis Penuh Majlis Daerah Bandar Baharu Bil. 4/2022 dipengerusikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Bandar Baharu, Tuan Rohaizad bin Rashid, SDK., AMK., BCK., secara bersemuka bermula jam 9.30 pagi bertempat di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah dan Tanah Bandar Baharu.

Mesyuarat dimulakan dengan mengesah dan meluluskan minit Mesyuarat Penuh Bilangan 3 Tahun 2022 bertarikh 29 Mac 2022, membincangkan perkara-perkara berbangkit, menerima ketetapan minit-minit Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Bilangan 4 Tahun 2022 bertarikh 17 April 2022 serta pembentangan 4 buah kertas kerja dan perbincangan hal-hal lain.

Selain itu, mesyuarat turut mengambil maklum akan peringatan langkah-langkah keselamatan diri dan kawasan kediaman yang diberikan oleh Ketua Polis Daerah Bandar Baharu memandangkan banyak kes-kes jenayah baru yang berlaku masa kini terutamanya di musim perayaan.

Seterusnya, Tuan Yang Dipertua diiringi Tuan Setiausaha menyampaikan sumbangan berupa hamper raya kepada semua Ahli Majlis MDBB yang diwakili oleh Ketua Whip, Tuan Haji Rohaizat Bin Ja’afar., PJK., Ex-Officio yang diwakili Ketua Polis Daerah, DSP Mohd Akmal Hizam Bin Haji Abd Khupur dan semua kakitangan Majlis Daerah Bandar Baharu yang diwakili oleh Ketua Unit OSC MDBB, En. Zul Aiman Bin MD Salleh sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 1443H/2022.

Akhir sekali, Tuan Pengerusi mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Ahli Mesyuarat yang hadir dan memberi komitmen yang baik sepanjang mesyuarat dijalankan.

Turut hadir bersama di dalam mesyuarat ini ialah Setiausaha, Ahli-Ahli Majlis (Politik dan Ex-Officio), Ketua-Ketua Bahagian / Unit Majlis Daerah Bandar Baharu dan Urus Setia mesyuarat yang terlibat.

Skip to content