3-4 OGOS 2022 (RABU – KHAMIS)

Program Focus Group Discussion (FGD) Kajian Rancangan Tempatan Majlis Daerah Yan, Kedah 2035 (Penggantian) ini telah berlangsung pada jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang selama 2 hari bertempat di Dewan Dato’ Madi, Yan, Kedah.

Seramai lebih kurang 122 orang peserta meliputi para penjawat awam persekutuan dan negeri hadir ke majlis tersebut yang terdiri dari pelbagai jabatan / agensi teknikal, wakil – wakil YB Ahli Parlimen dan ADUN, para Ahli Majlis MDY dan Pengerusi JPKK serta para Pemaju dan Pengusaha pada sesi pertama pada 03 Ogos 2022 (Rabu) manakala hampir 108 orang peserta telah hadir pada sesi kedua yang berlangsung pada 04 Ogos 2022 (Khamis).Hari pertama sesi pagi melibatkan Fokus 1: Perancangan Spatial Yang Seimbang Dan Optimum yang melibatkan 3 kumpulan iaitu Kumpulan 1: Infrastruktur ,Kumpulan 2: Fizikal dan kumpulan 3: Sosial manakala Fokus 2: Ekonomi Daerah Yang Berdaya Maju dan Dinamik juga melibatkan 3 kumpulan iaitu Kumpulan 1: Perspektif Ekonomi Daerah Yan Perniagaan & Perindustrian, Kumpulan 2: Pertanian, Penternakan, Perikanan & Akuakultur dan Kumpulan 3: Pengurusan Pelancongan yang terdiri daripada jabatan / agensi Persekutuan dan Negeri.

Di samping itu juga, perbincangan bagi sesi petang menyentuh tentang Fokus 3: Pengurusan Alam Sekitar dan Geobencana Yang Mampan Dan Berdaya Tahan yang melibatkan Alam Sekitar, Marin, Perhutanan & Sumber Asli, Pengurusan Pantai & Geobencana dan Pengurusan & Pelaksanaan Pembangunan Pangkalan Data Penilaian Kemampanan.

Hari kedua sesi pagi diteruskan dengan perbincangan kumpulan yang melibatkan 5 kumpulan, di mana 4 kumpulan adalah sesi bersama komuniti yang terdiri daripada YB ADUN, YB Ahli Parlimen, pemimpin komuniti (JPKK), para Ahli Majlis MDY dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membincangkan berkaitan Sosial, Ekonomi, Infrastruktur dan Alam Sekitar manakala 1 kumpulan lagi ialah Sesi Bersama Pemaju.Rancangan Tempatan Daerah Yan 2020 sebelum ini yang yang disediakan di bawah peruntukkan Akta 172 dan diwartakan oleh Pihak Berkuasa Negeri kini telah tamat tempoh perancangan. Oleh itu, Majlis Daerah Yan selaku pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT) di bawah peruntukan Akta 172 sedang dalam peringkat penyediaan kajian rancangan tempatan daerah (RTD) Yan yang baharu sehingga tahun 2035.

Selain itu, fokus utama pembangunan ekonomi daerah Yan akan difokuskan kepada Pembangunan Pertanian (Padi), pelancongan dan yang terkini adalah Pelabuhan Yan.

Sekalung penghargaan dan ucapan tahniah dirakamkan kepada PlanMalaysia melalui Pejabat Projek Zon Utara (PPZU), PlanMalaysia Negeri Kedah dan pasukan perunding yang dilantik iaitu ANZ Planners Sdn. Bhd. atas penganjuran program yang sangat penting bermanfaat ini dengan kerjasama Majlis Daerah Yan.Turut hadir di dalam program ini ialah Tuan Pegawai Daerah Yan / Tuan Yang Dipertua Majlis Daerah Yan [Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah, AMK., BCK.], Pengarah Pejabat Projek Zon Utara [Tuan Haji Che Rashid bin Che Seman], Ahli-Ahli Majlis (politik dan ex officio) Majlis Daerah Yan, Tuan Setiausaha MDY [Encik Mohd Akmal bin Azimi], Perunding-Perunding ANZ Planners Sdn. Bhd., wakil-wakil jabatan /agensi / komuniti yang terlibat, Ketua- Ketua Unit dan Jabatan MDY serta urus setia MDY yang terlibat.

Skip to content