13 OGOS 2022 (SABTU)

Program Kayuhan Santai Jerai Geopark – Merdeka 2022 ini telah diadakan jam 8.00 pagi bertempat di Pantai Murni Waterfront, Yan, Kedah.

Program Kayuhan Santai ini juga turut disertai oleh YB ADUN Sungai Limau, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah [YBhg. Datin Paduka Hariyanti binti Amit], Tuan Pegawai Daerah Yan / Yang Dipertua Majlis Daerah Yan merangkap Penasihat PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan [Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah, AMK., BCK.,] Pengerusi Puspanita Daerah Yan [Puan Amila binti Ahmad], Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan Tanah) / Timbalan Pengerusi 1 PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan [Puan Noorul Azyyati Binti Ahmad Salmi, BCK., ], Penolong Pegawai Daerah (Pendaftaran) [Encik Mohammad Afifi Bin Mohammad], para Ahli Majlis MDY (politik dan ex officio), para warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah Yan (PDTY), Majlis Daerah Yan (MDY), para Ahli Jawatankuasa dan warga PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan, para warga IPD Yan dan PERKEP IPD Yan, serta wakil dari pelbagai jabatan / agensi di daerah Yan serta komuniti setempat.

Aktiviti kayuhan basikal ini bermula dari Pantai Murni Waterfront menuju ke pusat peranginan Titi Hayun dan berakhir di Peranginan Seri Perigi melibatkan jarak kayuhan sejauh hampir 10 km.Aktiviti dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu negeri Kedah dan disusuli dengan aktiviti senaman regangan serta diteruskan dengan taklimat laluan perjalanan kayuhan basikal.

Program ini kemudiannya diteruskan dengan acara pelepasan kayuhan oleh Tuan Pegawai Daerah Yan / Yang Dipertua Majlis Daerah Yan merangkap Penasihat PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan tepat jam 9.00 pagi.Laluan kayuhan seterusnya berhenti di checkpoint pusat peranginan Titi Hayun di mana para peserta kayuhan mendengar Taklimat Pelaksanaan Projek Empangan Sabo, Titi Hayun oleh wakil Jurutera Daerah JPS Kota Setar / Pendang / Yan iaitu antara lokasi bencana kepala air yang berlaku pada 18 Ogos 2021 yang lalu.

Aktiviti kayuhan santai ini yang melibatkan seramai hampir 100 orang peserta turut disertai oleh hampir 50 orang warga kerja MDY,PDTY dan PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan yang bertindak sebagai urus setia program bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan meningkatkan hubungan kerjasama antara para warga kerja PDTY dan MDY serta para Ahli Majlis MDY dengan semua jabatan / agensi di Daerah Yan, PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah dan PERKEP Negeri Kedah serta Daerah Yan termasuk komuniti setempat.Selain itu, bersesuaian dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), program kayuhan santai ini bertujuan meningkatkan kecergasan dan kesihatan diri ke arah pengamalan budaya hidup yang aktif dan sihat di samping menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan serta mempromosi keistimewaan Jerai Geopark dan Daerah Yan sebagai Daerah Pelancongan Desa.

Kayuhan santai ini telah menyusuri laluan perjalanan yang menyeronokkan di mana para peserta dapat menikmati keindahan alam semula jadi, merasai suasana desa yang permai serta pelbagai lokasi riadah dan aktiviti pelancongan yang menarik di Daerah Yan.

Titik penamat kayuhan santai ini yang berakhir di Peranginan Seri Perigi menjadi destinasi bagi para peserta untuk berehat, bersantai, bergambar kenangan dan diteruskan dengan acara penutup dan kemuncak program iaitu penyampaian hadiah cabutan bertuah yang disampaikan oleh YBhg. Datin Paduka Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah.Sebelum bersurai, para peserta beramai-ramai menikmati jamuan makan tengah hari berlatarbelakang Air Terjun Seri Perigi yang unik, indah dan nyaman yang merupakan antara destinasi pelancongan menarik yang terdapat di Jerai Geopark di Daerah Yan.

Setinggi – tinggi penghargaan diucapkan kepada PUSPANITA cawangan Negeri Kedah, PERKEP Negeri Kedah, Pejabat Daerah dan Tanah Yan, Majlis Daerah Yan, Ibu Pejabat Polis Daerah Yan, APM Daerah Yan, JKR Daerah Yan, Pejabat Kesihatan Daerah Yan, para Penghulu Mukim serta semua yang membantu menjayakan program Kayuhan Santai Jerai Geopark – Merdeka 2022.

Sekalung tahniah juga diucapkan kepada semua warga PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan atas komitmen tinggi dan kerjasama padu yang diberikan dalam merealisasikan program kayuhan santai yang julung – julung kali diadakan oleh PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan.

Skip to content