ISTIADAT PERBARISAN DAN PERARAKAN SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-65 TAHUN 2022 DI DATARAN MEDAN BANDAR, ALOR SETAR.

31 OGOS 2022 (RABU) – Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 Peringkat Negeri Kedah berjalan dengan penuh gilang-gemilang memandangkan sambutan yang kali terakhir disambut adalah pada tahun 2019 lalu akibat Pandemik Covid-19.
 
Istiadat Perbarisan dan Perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 ini telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Dataran Medan Bandar, Alor Setar di sini, hari ini.
 
Istiadat dimulakan dengan Kawalan Kehormatan Utama ‘Hormat DiRaja’ serta nyanyian lagu ‘Allah Selamat Sultan’ oleh Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) serta Pancaragam Kolej Tentera Udara, Kepala Batas.
 
Kemudian acara diserikan dengan penyampaian koir dan perbarisan melintasi Pentas Diraja dengan diiringi lagu-lagu patriotik oleh kumpulan pancaragam.
 
Sebanyak 115 kontinjen perbarisan dan perarakan ditampil pada sambutan kali ini melebihi sambutan pada sebelum ini.
 
Selepas Istiadat Perbarisan dan Perarakan, turut diserikan persembahan tarian serta nyanyian oleh kanak-kanak pelbagai kaum serta penyampaian hadiah keceriaan kemerdekaan dan perbarisan kemerdekaan.
 
Hadir sama Sultanah Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ibni Sultan Sallehuddin; Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh; Tunku Bendahara Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah; Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan Negeri, Dato’ Dr. Mohd Hayati Othman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perbarisan dan Perarakan.
 
Skip to content