6 OKTOBER 2022 (KHAMIS)

Program Santai @ Hari Sukan Negara 2022 Peringkat Daerah Yan ini telah berlangsung bermula jam 8.30 pagi bertempat di Dewan Serbaguna, Guar Chempedak, Yan, Kedah dan dianjurkan oleh Majlis Daerah Yan (MDY).

Program ini dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) / Setiausaha Majlis Daerah Yan dan seterusnya disusuli dengan gimik perasmian program iaitu dengan membuat pukulan servis bagi acara badminton.

Pasukan PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan turut tidak melepaskan peluang menyertai acara sukan dalaman (indoor) dan tradisional iaitu Congkak, Dart, Tuju Tin, Galah Panjang dan Badminton. Antara jabatan / agensi yang turut menyertai pertandingan ini termasuklah Bomba dan Penyelamat Yan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Yan, Ibu Pejabat Polis Daerah Yan, Pejabat Daerah Dan Tanah Yan (PDTY), Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Yan, KRT Kg Permatang Keramat , PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan dan PERKEP IPD Yan.

Keputusan pertandingan bagi acara Badminton (lelaki) iaitu Johan dimenangi oleh JKR Yan, Naib Johan dari Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh MDY. Bagi kategori Badminton (wanita) pula, Johan disandang oleh PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan, manakala Naib Johan dan tempat ketiga pula dimenangi oleh dua pasukan dari MDY.

Manakala bagi acara / pertandingan tuju tin (lelaki), Johan dimenangi oleh pasukan dari KRT Permatang Keramat manakala Naib Johan pula menjadi milik pasukan dari MDY. Bagi kategori wanita, johan dimenangi oleh pasukan PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan dan Naib Johan disandang oleh pasukan Pejabat Penerangan Daerah Yan.

Bagi permainan Galah Panjang (kategori lelaki), ia dimenangi oleh pasukan dari MDY dan Naib Johan pula milik pasukan dari Pejabat Daerah dan Tanah Yan. Bagi kategori wanita pula, Johan diungguli oleh pasukan dari PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan manakala Naib Johan dirangkul oleh pasukan dari Pejabat Daerah dan Tanah Yan.

Bagi permainan Dart kategori lelaki, johan dirangkul oleh Bomba dan Penyelamat Yan, Naib Johan adalah dari IPD Yan dan tempat ketiga dimiliki pasukan dari Taman Yan.Manakala untuk kategori wanita pula, Johan menjadi milik pasukan dari Majlis Daerah Yan, Naib Johan dimenangi oleh IPD Yan dan tempat ketiga milik pasukan dari PERKEP IPD Yan.

Bagi permainan congkak, tempat pertama dimenangi oleh JKR Yan, kedua oleh IPD Yan dan ketiga oleh Majlis Daerah Yan. Semua hadiah pertandingan telah disampaikan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) / Setiausaha Majlis Daerah Yan, Encik Mohd Akmal bin Azimi.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan atas kejayaan menjuarai beberapa aktiviti permainan tersebut serta semua jabatan / agensi Daerah Yan yang telah menyertai program pada hari ini.

Sekalung penghargaan dan jutaan tterima kasih juga dirakamkan kepada Majlis Daerah Yan (MDY) selaku penganjur dan para urus setia program dari MDY atas segala komitmen tinggi dan kerjasama padu yang telah diberikan dalam memastikan kelancaran dan kejayaan penganjuran program yang sangat bermanfaat seperti ini.Semoga program seumpama ini dapat mengukuhkan ikatan silaturahim di samping memupuk kerjasama erat antara pelbagai jabatan / agensi bersama masyarakat, khususnya di Daerah Yan.TAHNIAH & TERBAIK PUSPANITA YAN!!!

Skip to content