7 OKTOBER 2022 (JUMAAT)
Program “Fun Walk Keluarga Yan @ Pulau Bunting” sempena Hari Sukan Negara 2022 (HSN22) Peringkat Daerah Yan ini telah diadakan bertempat di Jambatan Pulau Bunting, Yan pada jam 8.00 pagi.
Program ini telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Yan / Yang Dipertua Majlis Daerah Yan merangkap Penasihat PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan, Tuan Mohamad Subhi Bin Abdullah, AMK., BCK.Program yang julung – julung kali diadakan ini berjaya menarik penyertaan seramai 500 orang peserta terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur.
Para peserta bersama keluarga masing – masing mula berkumpul seawal jam 7.30 pagi bagi menyertai acara Fun Walk di atas Jambatan Pulau Bunting ini yang melibatkan jarak sejauh 2.3 km sehala yang ditutup kepada masyarakat awam sejak tahun 2018.
Penganjuran program sukan dan riadah seumpama ini sedikit sebanyak telah berjaya memupuk budaya bersukan di samping bertujuan mempromosi amalan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat.Tiada bayaran dikenakan kepada para peserta yang menyertai program ini namun para peserta yang berjaya menamatkan acara sejauh 5 km pergi dan balik Jambatan Pulau Bunting tersebut menerima sijil penyertaan melalui applikasi QR Code.
Turut hadir memeriahkan program ini ialah YB ADUN Sungai Limau, Ahli-Ahli Majlis MDY, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan Tanah) merangkap Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan, KPPD (Pembangunan) / Setiausaha MDY, Penolong Pegawai Daerah (Pendaftaran / Pengurusan Daerah), Pegawai Belia dan Sukan Daerah Yan, para ketua / wakil pelbagai jabatan / agensi Daerah Yan, para Ahli Jawatankuasa dan warga PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan, para penghulu mukim, wakil Syarikat MMC Corporation, para warga kerja Syarikat E-Idaman, para warga komuniti setempat dan pelajar – pelajar sekolah serta urus setia program dari Pejabat Daerah dan Tanah Yan serta Majlis Daerah Yan.