10 OKTOBER 2022 (ISNIN)

Program Perasmian Bantu Sumbangan Bagi Perkhidmatan Bekalan Air untuk Premis Majlis Daerah Yan ini diadakan pada jam 10.00 pagi bertempat di Kompleks Merak Jaya, Pekan Sungai Limau Luar, Yan, Kedah.

Program dimulakan dengan bacaan doa oleh Ketua Jabatan Penguatkuasaan Majlis Daerah Yan, Encik Muhamad Hazwan bin Hashim dan seterusnya ucapan aluan oleh Tuan Pegawai Daerah Yan / Tuan YDP Majlis Daerah Yan (MDY), Tuan Mohamad Subhi Bin Abdullah, AMK., BCK.

Program ini kemudiannya diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Jerai, YB Ustaz Sabri bin Azit dan disusuli dengan sesi penyampaian cenderahati oleh Tuan Pegawai Daerah Yan / Tuan YDP Majlis Daerah Yan (MDY) kepada YB Ahli Parlimen Jerai.

Program selanjutnya diteruskan dengan lawatan ke premis – premis perniagaan berkenaan bagi meninjau pemasangan meter dan bekalan air di lokasi tersebut oleh YB Ahli Parlimen Jerai dengan diiringi oleh Tuan Pegawai Daerah Yan / YDP Majlis Daerah Yan, para Ahli Majlis MDY dan ketua – ketua jabatan MDY.Untuk makluman, Kompleks Merak Jaya termasuk Medan Selera dan Pasar Terbuka Sungai Limau Luar adalah premis hakmilik Majlis Daerah Yan dan kompleks tersebut telah diberi kemudahan bekalan air hasil sumbangan melalui peruntukan yang diluluskan oleh YB Ahli Parlimen Jerai.

Sebelum program tersebut berakhir, para tetamu jemputan yang hadir sama – sama menikmati jamuan minum pagi dan disusuli dengan sesi bergambar kenang-kenangan bersama YB Ahli Parlimen Jerai.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada YB Ahli Parlimen Jerai atas keprihatinan dalam membantu menyelesaikan masalah isu bekalan air di Kompleks Merak Jaya tersebut dan semoga para peniaga dapat menjalankan perniagaan masing – masing dengan lebih lancar tanpa mengalami sebarang kesulitan.Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada semua Ahli – ahli Majlis dan ketua jabatan Majlis Daerah Yan, Penghulu Mukim Sala Besar, JPKK Mukim Sala Besar, wakil SADA, para warga kerja MDY, kontraktor dilantik dan para peniaga yang hadir di atas komitmen tinggi dan kerjasama padu yang diberikan dalam memastikan kelancaran dan kejayaan program ini yang walau pun ringkas tetapi sangat bermakna kepada semua pihak berkaitan.

Skip to content