15 November 2022 – Tuan Yang Dipertua mengiringi Dr. Noor Azlin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi Perasmian Bengkel Kajian Penilaian Kawasan Hijau Bandar untuk Pengurusan Bersepadu ke Arah Kesejahteraan Masyarakat dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kulim.

Bengkel yang dilaksanakan di Hotel Seri Malaysia Kulim ini merupakan inisiatif FRIM bagi menyebarluas hasil kajian yang dilaksanakan di kawasan hijau bandar, khususnya kepada pihak berkepentingan dan masyarakat di sekitar lokasi kajian iaitu Taman Tasik Putra, Kulim, Kedah.

Dr Noor Azlin dalam ucapannya berkata “Kawasan hijau bandar termasuk taman-taman awam memainkan pelbagai fungsi tersendiri dan menyumbang kepada pelbagai faedah. Ia menawarkan peluang pendidikan mengenai kepentingan biodiversiti dan faedah kawasan hijau dalam menangani perubahan iklim umpamanya.”

“Tumbuh-tumbuhan di taman awam dan sekitarnya dapat melembutkan persekitaran bandar yang semakin padat dengan struktur-struktur binaan, menambah baik kualiti iklim mikro dengan mengurangkan kepanasan dan meningkatkan kelembapan relatif, serta dapat mengawal hakisan dan memulihara kawasan tadahan air.”

Beliau turut menekankan bahawa kawasan hijau yang dibangunkan dan selenggara dengan baik dapat memberi manfaat sosio-ekonomi kepada populasi setempat.

Di samping itu, ia menawarkan persekitaran yang kondusif bagi meningkatkan peluang untuk riadah dan pendidikan pemuliharaan alam semula jadi kepada orang awam memandangkan faktor kemudahsampaian, fasiliti serta ketersediaan sumber biodiversiti.

Skip to content