5 MAC 2023 (AHAD)

Program ini telah diadakan pada jam 9.00 pagi bertempat di perkarangan Surau Nurul Iman, Kampung Permatang Tepi Laut, Mukim Sala Besar, Yan, Kedah.

Program ini dimulakan dengan sesi pendaftaran bagi para peserta penerima bantuan di perkarangan surau tersebut dan disusuli dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Tuan Haji Abdul Wahab bin Haji Desa, Imam Masjid Kariah Permatang Buluh, Mukim Sala Besar, Yan, Kedah.Program kemudiannya diteruskan dengan ucapan aluan oleh YB Ustaz Mohd Azam bin Abd Samat, ADUN Sungai Limau dan diikuti dengan ucaptama oleh YB Dato’ Haji Isahak bin Murat, Pegawai Kewangan Negeri Kedah.

Program ini merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Pejabat Kewangan dan Pembendaharaan Negeri Kedah dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Sungai Limau untuk pemberian tunai dan bakul makanan kepada 50 orang asnaf serta 2 orang penerima yang disampaikan semasa sesi ziarah diadakan di rumah mereka.

Di samping itu, program ini juga merupakan satu langkah proaktif untuk membantu masyarakat yang memerlukan seperti penyampaian bantuan persekolahan Back to School yang melibatkan seramai 147 orang yang terdiri dari 81 orang murid sekolah rendah dan 66 orang pelajar sekolah menengah.Sempena program ini, pelbagai aktiviti sampingan menarik turut diadakan seperti FREE MARKET, pemberian barangan rumah terpakai dan kelengkapan sekolah kepada para penduduk sekitar yang hadir.

Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang lain juga turut dijalankan sempena program ini seperti lawatan khemah jualan, pameran-pameran dari pelbagai agensi dan kaunter saringan kesihatan yang dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Yan di mana seramai 50 orang peserta yang hadir telah membuat saringan pemeriksaan kesihatan telah diberikan hadiah saguhati iaitu berupa satu pek beras 5 kg setiap orang.

Program ini kemudiannya diakhiri dengan sesi bergambar para tetamu jemputan bersama para urus setia program, penerima sumbangan dan penduduk setempat serta jamuan kenduri rakyat untuk semua yang hadir menjayakan dan memeriahkan program yang julung – julung kali diadakan di Daerah Yan.

Setinggi- tinggi ucapan tahniah dan terima kasih dirakamkan kepada Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Sungai Limau, Pejabat Penghulu Mukim Sala Besar, semua jabatan / agensi / institusi / syarikat yang terlibat seperti Pejabat Daerah dan Tanah Yan, Majlis Daerah Yan, Pejabat Kesihatan Daerah Yan serta Tabung Haji yang telah membantu memastikan kelancaran program yang sangat bermakna ini.

Turut hadir menjayakan dan memeriahkan program ini ialah Tuan Mohamad Subhi Bin Abdullah, AMK., BCK. (Pegawai Daerah Yan / Yang Dipertua Majlis Daerah Yan merangkap Penasihat PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan), YBhg. Datin Hajah Nor Afza binti Osman (Pengerusi PUSPANITA Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah), Puan Amila binti Ahmad (Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan), Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi (Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan), Tuan Imam Masjid Kariah Sungai Dedap, Penghulu- Penghulu Mukim, Ketua Jabatan/ Unit Pejabat Daerah Dan Tanah Yan serta Majlis Daerah Yan, para warga PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan dan para warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah Yan serta Majlis Daerah Yan.

Skip to content