12 MAC 2023 (AHAD)

Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2023 telah diadakan pada 11 hingga 12 Mac 2023 bertempat di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), Ipoh, Perak. Konvensyen ini telah dianjurkan oleh KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh. YBhg. Dato’ Dr. Zulkapli bin Mohamed, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) menyampaikan ucaptama di Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2023 bagi mewakili YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara.

Konvensyen ini bertujuan untuk memperkukuh dan memperkasa peranan PBT di samping memberi peluang kepada para Ahli Majlis untuk bertukar pandangan serta menyumbang idea ke arah menjadikan perkhidmatan PBT yang lebih dinamik dan progresif.

Konvensyen ini juga merupakan platform perkongsian amalan terbaik (best practices) berkaitan penyelesaian isu-isu perbandaran yang inovatif dan kreatif serta medium penyampaian aspirasi Kerajaan Persekutuan terhadap peranan dan tanggung jawab PBT dalam pembangunan masa kini.

Selain itu, Konvensyen ini turut membuka ruang perbincangan merentasi sempadan negeri untuk menyuarakan pandangan dan idea secara konstruktif dalam kalangan PBT berdasarkan kepelbagaian pengurusan perkhidmatan perbandaran di kawasan pentadbiran PBT masing-masing.

YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri KPKT telah menyempurnakan Majlis Penutup Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan seterusnya menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Inovasi MALA 2.0: Piala YB Menteri KPKT dan Penyampaian Anugerah Sistem Penarafan Bintang-Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) Tahun 2022.Majlis Daerah Yan telah berjaya memperolehi 5 Bintang bagi Anugerah Sistem Penarafan Bintang-Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) Tahun 2022.

Turut hadir dalam Konvensyen tersebut ialah Tuan Yang Dipertua Majlis Daerah Yan (Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah, AMK., BCK.), Tuan Setiausaha MDY (Encik Mohd Akmal bin Azimi), Ahli – Ahli Majlis MDY, Ketua- Ketua Jabatan dan Unit MDY.Tuan Yang Dipertua Majlis Daerah Yan, Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah, AMK., BCK., merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Majlis dan warga kerja MDY di atas komitmen tinggi dan kerjasama padu yang diberikan dalam setiap aspek yang diperlukan.

Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Majlis MDY (politik dan ex-officio) yang sentiasa memberikan komitmen penuh dan terus menyokong setiap perancangan dan pelaksanaan pelbagai pelan, program dan aktiviti yang dijalankan oleh Majlis Daerah Yan dari masa ke semasa secara berterusan.

Skip to content