KPKT UMUM PERUNTUKAN RM3.78 JUTA BAGI PROJEK MENAIK TARAF DAN PENYELENGGARAAN INFRASTRUKTUR AWAM DI ALOR SETAR, KEDAH

24 Jun 2023 – YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3.78 juta bagi menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur awam dalam lawatan kerja rasmi beliau ke Alor Setar, Kedah. Peruntukan ini melibatkan 13 projek yang diluluskan kepada Majlis Bandaraya Alor Setar sehingga Jun 2023. Manakala, jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan BP.1 bagi 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Kedah berjumlah RM35.84 juta.
 
Dalam lawatan kerja beliau ke Alor Setar, YB Menteri KPKT turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM500,000 lagi bagi kerja-kerja menaik taraf Pasar Teluk Wanjah, Jalan Tunku Abdul Halim Halim seperti mengecat semula bangunan pasar, penggantian longkang dan laluan dalaman pasar, pemasangan saluran paip air kotor, membaik pulih loji kumbahan, membaik pulih longkang luar bangunan, membina tempat letak motorsikal, menurap semula laluan dan dataran niaga luar pasar, waterproofing, talang air hujan dan laluan OKU.
 
YB Menteri KPKT turut turun padang meninjau keperluan kemudahan awam serta infrastruktur berkaitan di Dewan Dato’ Syed Omar, Projek Longkang Taman Pulai Jaya dan Dataran Kejat Medan Selera Darul Aman, Alor Setar.
 
Menurut YB Menteri KPKT, “Penyaluran peruntukan ini merupakan ‘sentuhan kasih’ KPKT dalam meningkatkan kualiti fasiliti awam khususnya di sekitar Bandaraya Alor Setar sebagai salah satu usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi demi manfaat penduduk setempat.”
 
Tambah beliau, “Keseluruhan peruntukan naik taraf kemudahan awam dan infrastruktur ini merupakan “performance-based budget” atau peruntukan berlandaskan pelaksanaan bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat terus dipertingkatkan.”
 
Turut hadir semasa lawatan kerja tersebut ialah Datuk M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha KPKT; Dato’ Mohd Fadzli Bin Mohd Kenali, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan; YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Bin Haji Md Daud, Datuk Bandar Alor Setar, Pengurusan Tertinggi KPKT, Ketua Jabatan Peringkat Negeri dan Daerah, Ahli-Ahli Majlis MBAS serta pihak Pengurusan MBAS.
KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan sentiasa bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Malaysia bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat.
 
Skip to content