LAWATAN TAPAK DATUK BANDAR ALOR SETAR KE PROJEK MURAL TAMBAHAN DI MEDAN SENI ALOR SETAR

22 Jun 2023 – Lawatan tapak oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Bin Haji Md Daud, Datuk Bandar Alor Setar ke Projek Mural Tambahan di Medan Seni, Alor Setar. Hadir sama beberapa pegawai MBAS serta pelukis-pelukis yang dilantik. Projek mural tambahan ini merupakan cetusan idea daripada Datuk Bandar supaya mural di Medan Seni ini dapat diperbanyakkan bagi memenuhi ruang-ruang kosong di kawasan berkenaan.
 
Dalam sesi temuramah bersama Datuk Bandar, beliau berkata MBAS dalam proses untuk menyiapkan beberapa kawasan tertentu untuk dijadikan mural dan menurut beliau mural ini merupakan satu tarikan yang sangat digemari oleh masyarakat khususnya masyarakat tempatan. Selain itu, projek mural ini merupakan salah satu projek di dalam Pelan Tindakan “Quick Win” MBAS bagi memastikan kawasan Medan Seni ini menjadi satu tarikan baru dan pelbagai program akan diadakan berkaitan kesenian terutamanya untuk menarik para pengunjung datang ke sini menjelang Tahun Melawat Alor Setar 2024.
 
Menurut beliau lagi, peruntukan projek mural ini merupakan peruntukan MBAS dan pihak MBAS akan berusaha mendapatkan peruntukan untuk memperluas kawasan mural ini di sekitar Bandaraya Alor Setar dan juga Pokok Sena kerana didapati di Bandar Pokok Sena juga mempunyai beberapa kawasan yang berpotensi sesuai untuk dijadikan mural.
 
Beliau juga begitu bangga dan berterima kasih kepada golongan anak-anak muda yang begitu mahir dalam seni lukisan mural ini serta beliau mengalu-alukan kepada mereka yang berminat ingin bersama-sama dengan MBAS dalam pembangunan Bandaraya Alor Setar khususnya dalam lukisan mural ini kerana bagi beliau uniknya lukisan mural ini secara tidak langsung ianya menggambarkan identiti sebuah bandar tersebut.
 
 
Skip to content