GOTONG ROYONG DAN OPERASI BERSEPADU MEMBANTERAS AEDES DI KAWASAN ALOR SETAR

22 Julai 2023 – Program Gotong Royong dan Operasi Bersepadu Membanteras Aedes Di Kawasan Alor Setar yang telah dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar bersama-sama rakan strategik iaitu Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar, SWCorp, E-Idaman, RELA, Puspanita MBAS serta Komuniti Penduduk yang bertempat di kawasan Taman Nakishah dan Taman Datuk Kumbar, Alor Setar. Program Gotong Royong dan Operasi Bersepadu ini diadakan bertujuan untuk mencegah dan mengawal penularan wabak denggi di kawasan berkenaan.
 
Hasil laporan Operasi Bersepadu yang telah dijalankan, pihak MBAS telah mengeluarkan sebanyak 5 kompaun dan 3 notis manakala pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar telah mengeluarkan 4 kompaun dan 3 notis. Kesalahan-kesalahan ini termaktub di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (AKTA 154).
 
Dalam sesi temuramah bersama Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Bin Haji Md Daud, beliau amat menekankan kepentingan aspek kebersihan di kawasan Bandaraya Alor Setar.
“Ini merupakan salah satu agenda pihak MBAS untuk memastikan kesihatan dan juga kebersihan sentiasa terjamin di kawasan Bandaraya Alor Setar. Program seumpama ini akan diteruskan lagi di masa hadapan agar ianya menjadi satu identiti iaitu sebuah Bandaraya yang bersih dan bebas daripada penyakit, selaras dengan visi MBAS untuk menjadikan sebuah Bandaraya yang Berdayahuni.” ujarnya.
 
Pengerusi Puspanita MBAS, Datin Hajah Suriyati Binti Haji Sabar turut memberikan beberapa tips penjagaan kebersihan di kawasan rumah seperti penggunaan abate, pembersihan pasu-pasu bunga, penjagaan pokok-pokok yang mempunyai daun bertakung air, serta tempat-tempat lain yang mempunyai tempat takungan air agar ianya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kota Setar, Dr. Shareh Azizan Bin Shareh Ali turut berkata selain gejala Covid-19, gejala demam denggi ini juga boleh menyebabkan kematian. Mengikut statistik, kes demam denggi ini telah meningkat dengan ketara.
 
“Jadi untuk pencegahan ini, kita bersama-sama rakan strategik menjalankan aktiviti pada hari ini iaitu gotong-royong bagi membersihkan kawasan supaya kawasan tempat pembiakan ini dihapuskan. Seterusnya adalah berkenaan aktiviti kawalan, sekiranya tempat pembiakan ditemui atau didapati terdapat kes ataupun wabak, kita akan melaksanakan aktiviti kawalan seperti pemusnahan tempat pembiakan. Seterusnya aktiviti bagi menghapus nyamuk dewasa melalui aktiviti semburan kabus dan menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi memastikan kawalan kita berkesan.”
 
Skip to content