MESYUARAT JAWATANKUASA EKSEKUTIF BIRO SUKAN PERSATUAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN MALAYSIA (MALA)

17 Julai 2023 – Satu Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Biro Sukan Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) yang telah diadakan bertempat di Dewan Al-Wafa, Tingkat 8, Menara MBAS. Mesyuarat ini diadakan bertujuan bagi membincangkan Kejohanan Sukan Boling Piala YB Timbalan Menteri KPKT 2023 yang akan diadakan di Alor Setar, Kedah. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh En. Nasrankamil Bin Noh, Setiausaha MBAS sebagai wakil Datuk Bandar MBAS.
 
Dalam sesi temuramah bersama wakil khas presiden MALA, En. Mazlan bin Mohd Said mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MBAS kerana sudi menerima kunjungan pihak MALA bagi mengadakan Mesyuarat Sukan MALA di Majlis Bandaraya Alor Setar. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada En. Nasrankamil Bin Noh, Setiausaha MBAS kerana turut bersama-sama di dalam mesyuarat tersebut.
 
“Untuk makluman semua, pihak MALA telah bersetuju untuk mengadakan kejohanan sukan boling bagi merebut Piala YB Timbalan Menteri KPKT yang akan diadakan pada 23-25 September 2023 bertempat di Aman Bowl, Alor Setar. Jadi, kami mengharapkan sebanyak mungkin jumlah penyertaan daripada pihak PBT seluruh negara dimana sebelum ini pihak MALA telah menerima penyertaan sebanyak 110 pasukan yang menyertai kejohanan sukan MALA yang telah diadakan di Johor Bahru pada awal tahun ini.”
 
Beliau turut berkata pihak MALA akan menganjurkan sukan bola sepak 9 sebelah bagi merebut piala YB Menteri KPKT yang akan berlangsung pada minggu keempat bulan November 2023 bertempat di Manjung, Perak dan pihak MALA akan memohon kepada pihak Majlis Perbandaran Manjung sebagai penganjur bersama.
 
“Jadi, secara tambahan saya ingin memaklumkan bahawa sukan MALA ini merupakan sukan dwitahunan dan kali terakhir ianya telah dilangsungkan pada tahun 2022. Pada tahun 2023 kita telah melangsungkan juga acara dwitahunan iaitu pertandingan Inovasi MALA piala YB Menteri KPKT. Jadi pada tahun 2024, sukan MALA akan dilangsungkan dengan 13 dipertandingkan sukan dimana 10 sukan akan dilangsungkan di Melaka dan 3 sukan lagi akan dilangsungkan di Kedah. Majlis perasmian sukan MALA 2024 akan diadakan pada bulan Februari 2024 yang akan dikendalikan oleh pihak MALA bersama pihak-pihak PBT di Negeri Melaka.”
 
Menurut beliau lagi, di dalam mesyuarat tersebut beberapa cadangan yang telah dikemukakan oleh jawatankuasa berkaitan had umur di dalam penyertaan sukan MALA. Pihak MALA akan membuat pindaan bagi syarat had umur untuk penyertaan sukan MALA iaitu bagi kategori veteran lelaki had umur yang telah ditetapkan 45 tahun akan dipinda kepada 40 tahun dan bagi kategori veteran wanita had umur 40 tahun akan dikekalkan.
 
Skip to content