MESYUARAT MAJLIS PENUH BIL. 6 TAHUN 2023 MAJLIS BANDARAYA ALOR SETAR

27 Jun 2023 – Mesyuarat Majlis Penuh Bil. 6 Tahun 2023 yang telah berlangsung semalam di Dewan Al-Wafa, Tingkat 8 Menara MBAS. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Bin Haji Md Daud, Datuk Bandar Alor Setar. Turut berlangsung di mesyuarat tersebut ialah sesi Angkat Sumpah oleh Tuan Mohamad Rizal bin Mohamad Radzi, Pegawai Daerah Pokok Sena. Mesyuarat tersebut merupakan mesyuarat Majlis Penuh terakhir bersama Ahli-Ahli Majlis lantikan politik berikutan pembubaran Dewan Undangan (DUN) Negeri Kedah yang berkuatkuasa pada 28 Jun 2023.
 
Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Haji Mohd Yusri Bin Haji Md Daud menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Majlis lantikan politik MBAS yang telah banyak memberi bantuan, sumbangan dan idea kepada pihak MBAS untuk meneruskan agenda pembangunan khususnya pembangunan fizikal serta sosial dimana ianya secara langsung melibatkan kesemua Ahli-Ahli Majlis tersebut.
 
“Mereka ini merupakan ketua-ketua zon yang telah dilantik dan sehingga hari ini mereka telah menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ketua zon dengan perkhidmatan yang begitu cemerlang”
“Semenjak saya datang ke MBAS ini sebagai Datuk Bandar, hampir lapan bulan saya bersama-sama dengan Ahli-Ahli Majlis ini, saya dapati kerjasama dan perkhidmatan mereka amat begitu bermakna dan terbaik kerana dari apa yang saya lihat disini semua Ahli-Ahli Majlis tersebut menjalankan peranan masing-masing tidak kiralah semasa bermesyuarat ataupun ketika menjalankan tugas sebagai ketua zon di luar kawasan iaitu di Bandaraya Alor Setar dan juga Daerah Pokok Sena.”
 
“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Majlis tersebut di atas sumbangan idea, sumbangan tenaga dan juga secara tidak langsung memberi semangat dan juga motivasi kepada semua kakitangan MBAS untuk bersama-sama membangunkan MBAS khususnya di kawasan Bandaraya Alor Setar dan Daerah Pokok Sena.”
 
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh Bil 6 Tahun 2023 MBAS yang bertempat di Dewan Persidangan Al-Wafa Tingkat 8, Menara MBAS.
 
Hadir sama En. Nasrankamil Bin Noh, Setiausaha MBAS, Ahli-Ahli Majlis MBAS, Pengarah-Pengarah MBAS serta Ketua-Ketua Bahagian MBAS yang terlibat.
 
Skip to content