PROGRAM LIBAT URUS BERSAMA DATUK BANDAR ALOR SETAR

5-6 Julai 2023 – Program Libat Urus bersama Datuk Bandar Alor Setar yang telah diadakan selama dua hari bertempat di Dewan Mesyuarat UTC, Aras 5, Bangunan UTC Kedah. Program libat urus ini melibatkan agensi-agensi Kerajaan, GLC, Swasta serta NGO.
 
Menurut Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Bin Haji Md Daud berkata program libat urus ini diadakan bertujuan bagi mengorak langkah untuk menjadikan Bandaraya Alor Setar lebih ‘vibrant’. Pelbagai rangka tindakan atau ‘blueprint’ telah dibuat di peringkat MBAS ke arah menjadikan Bandaraya Alor Setar lebih ‘vibrant’ antaranya berkaitan dengan sektor pelancongan. Di samping itu, terdapat juga blueprint untuk mewujudkan bandar ‘Smart City’ dan juga ‘Low Carbon City’.
 
“Dengan adanya program libat urus ini, secara tidak langsung saya ingin melihat sejauh mana pandangan dan cadangan yang telah diberi ini sama ada ianya selari dengan perancangan serta pelaksanaan yang telah dibuat oleh pihak MBAS ke arah menjadikan Bandaraya Alor Setar ini lebih ‘vibrant’.
 
Kata beliau lagi, pihak MBAS ingin melihat Bandaraya Alor Setar ini dikunjungi ramai dan secara tidak langsung ianya akan menaikkan lagi aktiviti-aktiviti pelancongan. Pelancongan merupakan agenda besar MBAS di Bandaraya Alor Setar, dan MBAS akan mencuba untuk meniupkan semangat ke arah satu program iaitu ‘Mai Singgah Alor Setar 2024’ pada tahun hadapan.
 
“Jadi kita akan bermula pada tahun ini sempena meraikan dua dekad MBAS iaitu genap 20 tahun Bandaraya Alor Setar pada 28 November 2023. Dengan ini, kita akan cuba menggarap pelbagai kejayaan dan menjelang tahun 2024 kita akan memastikan pelbagai program dan aktiviti dapat dilaksanakan bagi menarik pengunjung datang ke Alor Setar. Bagi saya, Bandaraya Alor Setar ini tidak ada kekurangan dari segi aspek pelancongan kerana ianya mempunyai pelbagai aset, tempat dan juga produk yang mampu menjadi tarikan pelancong sama ada pelancong tempatan dan juga pelancong luar negara akan tetapi pada hakikatnya ia memerlukan kolaborasi antara pihak MBAS bersama pihak-pihak tertentu,” ujarnya.
 
Beliau berharap semua pihak memahami dan terlibat secara langsung dan juga tidak langsung dalam program yang akan dianjurkan iaitu ‘Mai Singgah Alor Setar 2024’ pada tahun hadapan. Di samping itu, beliau juga amat berterima kasih di atas semua cadangan dan pandangan yang telah diberikan kerana ianya akan membantu ke arah merealisasikan agenda tersebut.
 
Hadir sama En. Nasrankamil Bin Noh, Setiausaha MBAS, Pengarah-Pengarah MBAS, Ketua-Ketua Bahagian MBAS serta kakitangan MBAS yang terlibat.
 
Skip to content