Program e Usahawan : Pengenalan Kepada Keusahawanan Digital

02 Ogos 2023 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dengan kerjasama Unit Pembangunan Keusahawanan, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) telah menganjurkan Program e Usahawan : Pengenalan Kepada Keusahawanan Digital bertempat di Dewan Mesyuarat, UTC Kedah, Alor Setar. Kedah. Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Yusri bin Haji Md Daud, Datuk Bandar Alor Setar telah sudi hadir menyampaikan ucapan aluan & merasmikan program.
Pengisian kursus telah disampaikan oleh penceramah bertauliah yang didatangkan khas dari Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) iaitu Puan Sharifah Jamilah Almufazal (e Usahawan Master Trainer). Modul-modul kursus menfokuskan teknik penggunaan aplikasi atau perisian bagi tujuan memasarkan, mengiklankan & mempromosi secara optimum produk jualan atau servis para usahawan.
 
Antara tajuk yang dikongsikan ialah aplikasi atas talian iaitu Google Business dan WhatsApp Business, platform media sosial seperti Facebook, Instagram & TikTok selain aplikasi untuk menyunting bahan iklan, Canva. Para peserta juga ditawarkan oleh pihak MDEC kursus lanjutan secara atas talian yang juga disampaikan secara percuma untuk memastikan para usahawan mendapat manfaaat ilmu dengan lebih berkesan.
 
Dalam sesi temuramah bersama Puan Sharifah Jamilah Almufazal, beliau berkata Program e-Usahawan di bawah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) ini telah diadakan sejak tahun 2015 lagi dan ianya diberikan secara percuma kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun terutama kepada golongan usahawan. Salah satu daripada objektif MDEC ialah untuk memberikan pendedahan kepada semua para usahawan untuk lebih mengenali dunia digital dengan memasarkan produk-produk perniagaan mereka melalui platform media sosial.
“Kita nak semua usahawan ini bukan sahaja menjalankan perniagaan mereka di kedai iaitu secara “offline” tetapi turut menjalankan perniagaan mereka juga secara “online” iaitu secara digital melalui platform-platform media sosial”.
 
Menurut beliau lagi, para usahawan harus mengambil peluang yang diberikan secara percuma ini oleh pihak MDEC agar tidak ketinggalan dalam memajukan perniagaan mereka melalui platform digital.
 
Dalam pada itu, Puan Afidah Bt Abdul Malik, usahawan perniagaan buku digital yang juga merupakan salah seorang dari kalangan peserta program tersebut turut menyatakan bahawa program tersebut sangat memberikan manfaat kepada beliau sebagai usahawan dan beliau menyeru kepada semua para usahawan di luar sana untuk menyertai program tersebut kerana ianya diberikan secara percuma serta dapat membantu para usahawan untuk meningkatkan kualiti perniagaan mereka melalui platform digital sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.
 
Skip to content