ALOR SETAR MERDEKA HALF MARATHON 2023

19 Ogos 2023 – Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Bin Haji Md Daud hadir menyempurnakan acara pelepasan Alor Setar Merdeka Half Marathon 2023 bagi kategori 5km yang diadakan di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar.
 
Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah dan Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff, Tunku Puan Mahkota Kedah perkenan berangkat ke Acara Larian Alor Setar Merdeka Half Marathon 2023 berkenaan serta turut perkenan menyertai acara larian bagi kategori 5km bersama-sama peserta lain.
 
DYAM Tunku Mahkota Kedah dan DYAM Tunku Puan Mahkota Kedah juga turut perkenan menyempurnakan acara pengurniaan hadiah kepada para pemenang. Turut sama menyampaikan hadiah adalah Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Bin Haji Md Daud dan Timbalan Pengarah SPRM Kedah, Woong Chiew Hoong serta pihak penganjur.
 
En Shahril dari pihak penganjur iaitu Northern Runners menyatakan bahawa Alor Setar Merdeka Half Marathon 2023 pada kali ini telah meraih lebih kurang 2500 penyertaan dari seluruh Malaysia termasuk Sabah & Sarawak . Sebanyak 4 kategori yang dipertandingkan iaitu kategori 21 kilometer (km), 10km, 5km dan 1km (kids dash).
 
“Uniknya ASHM2023 kali ini mempunyai acara ‘kids dash’ kategori 1km untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun kebawah yang melakukan larian bersama ibubapa/penjaga mereka. Kategori tersebut cuba diperkenalkan khususnya di utara ini bagi menarik minat kanak-kanak untuk bersukan.”
Kata beliau lagi, ini merupakan kali kedua acara ini diadakan di Alor Setar dan memperoleh penyertaan yang lebih menggalakkan iaitu sebanyak 2500 penyertaan berbanding pada tahun lalu dengan 1000 penyertaan. Beliau turut memaklumkan bahawa ASHM2024 akan diadakan pada tahun hadapan dengan bertemakan “Mai Singgah Alor Setar 2024”.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah bersama pihak MBAS TV.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Bin Haji Md Daud turut berkata bahawa beliau melihat program tersebut berjaya dilaksanakan dengan meraih begitu ramai penyertaan sekaligus berjaya menarik ramai orang datang ke Bandaraya Alor Setar.
 
“Saya difahamkan seramai 2500 orang peserta yang datang mengambil bahagian dalam acara pada pagi ini. Jadi, inilah harapan saya di peringkat MBAS kerana program-program seumpama ini mampu menarik ramai penyertaan dari seluruh negara”.
 
“Bukan itu sahaja, ianya juga berjaya menarik ramai lapisan umur dari peringkat kanak-kanak hingga ke lapisan veteran untuk mengambil bahagian dalam program ini” ujarnya.
 
“Jadi, kita melihat bahawa program-program seumpama ini mampu menarik ramai pengunjung ke Bandaraya Alor Setar. Dengan langkah-langkah promosi “Mai Singgah Alor Setar 2024″ yang sedang dijalankan, kita mengharapkan program-program seperti ini membantu menggerakkan ekonomi di negeri Kedah khasnya di Alor Setar.”
 
Kata beliau lagi, pelbagai program akan diadakan lagi pada masa yang akan datang sempena ulang tahun MBAS ke-20 dan program “Mai Singgah Alor Setar 2024”.
 
Skip to content