ISTIADAT PERBARISAN DAN PERARAKAN SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-66 PERINGKAT NEGERI KEDAH TAHUN 2023

31 Ogos 2023 – Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Kedah berjalan dengan penuh gilang-gemilang dengan dianggarkan lebih 20 ribu rakyat negeri Kedah membanjiri Dataran Medan Bandar bagi menyaksikan Istiadat Perbarisan dan Perarakan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2023.
 
Istiadat Perbarisan dan Perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 ini telah disempurnakan oleh Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Dataran Medan Bandar, Alor Setar.
Istiadat dimulakan dengan Kawalan Kehormatan Utama ‘Hormat DiRaja’ serta nyanyian lagu ‘Allah Selamat Sultan’ oleh Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Mohd Faris Kamarul Bahrin diiringi Pancaragam Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pimpinan Pegawai Waran 2, Drum Mejar Azhar Ahmad.
 
Kemudian acara diserikan dengan persembahan koir oleh Pasukan Koir Wisma Darul Aman yang mendendangkan dua buah lagu iaitu ‘Warisan’ dan ‘Saya Anak Malaysia’. Sebanyak 115 Kontinjen menyertai Perbarisan dan Perarakan pada kali ini yang terdiri daripada kategori Pancaragam Sekolah Menengah dan Rendah, Badan Beruniform Institusi Pendidikan, Badan Beruniform Kerajaan, Persatuan/NGO/ Pertubuhan/ Kelab, PBT/Badan Berkanun/Swasta, Agensi Kerajaan Negeri & Persekutuan.
 
Selepas Istiadat Perbarisan dan Perarakan, turut diserikan persembahan tarian oleh Kaum Melayu, Cina dan India serta persembahan seni bela diri seperti taekwondo dan silat diakhiri dengan penyampaian hadiah kawad kaki sempena perbarisan kemerdekaan.
 
Berangkat hadir sama Sultanah Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff.
 
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dan isteri, Datin Seri Norhasni Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Mej (B) Mansor Zakaria merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perbarisan dan Perarakan.
 
Skip to content