KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG PERINGKAT NEGERI KEDAH TAHUN 2023

15 Ogos 2023 – Kerajaan Negeri Kedah telah melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah tahun 2023. Pelancaran kempen ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Bin Md Nor dengan mengedarkan Jalur Gemilang kepada masyarakat bertempat di Plaza Tol Alor Setar (Utara) dan premis-premis perniagaan di Kompleks City Plaza Alor Setar.
 
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Bin Md Nor berkata lebih 500 bendera Malaysia telah diedarkan di Plaza Tol Alor Setar (Utara) dan juga di premis-premis serta pengunjung-pengunjung di Kompleks City Plaza Alor Setar.
 
“Kempen ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotik di kalangan masyarakat Malaysia terutamanya di Negeri Kedah bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang Ke-66″.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah selepas membuat pengedaran Jalur Gemilang kepada peniaga-peniaga dan pengunjung-pengunjung di Kompleks City Plaza, Alor Setar.
 
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan Bin Khazali dan Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Bin Haji Md Daud.
 
Menteri Besar Kedah turut berkesempatan melancarkan kempen #maisinggahalorsetar2024 di lokasi sama bagi mempromosikan pelancongan di Bandaraya Alor Setar anjuran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
 
“Di kesempatan ini, saya ingin mengajak seluruh rakyat Kedah dan juga seluruh rakyat Malaysia untuk mengambil peluang berkunjung ke Bandaraya Alor Setar sempena sambutan 20 Tahun MBAS dan juga program ‘Mai Singgah Alor Setar 2024′”.
 
“Bagi yang ingin melancong ke Langkawi, boleh singgah ke Bandaraya Alor Setar untuk menikmati keindahan bandar bersejarah yang berusia lebih 200 tahun dengan pelbagai monumen-monumen bersejarah di bandar ini” katanya.
 
Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan Bin Khazali turut berkata program ‘Mai Singgah Alor Setar” ini merupakan satu idea yang amat baik bagi mempromosikan pelancongan di Bandaraya Alor Setar.
 
“Program Mai Singgah Alor Setar yang diperkenalkan oleh Datuk Bandar ini adalah tepat pada masanya kerana di Bandaraya Alor Setar ini mempunyai pelbagai bangunan-bangunan warisan untuk dikenali para pelancong dan Alor Setar juga turut dikenali sebagai sebuah Bandaraya Warisan”
 
“Saya harap semua penduduk di Malaysia mengambil kesempatan ini untuk singgah ke Bandaraya Alor Setar melihat keindahan bandaraya ini sempena program ‘Mai Singgah Alor Setar 2024′” ujarnya.
 
Skip to content