KEJOHANAN BOLING BERPASUKAN PERSATUAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN MALAYSIA (MALA) MEREBUT PIALA TIMBALAN MENTERI KPKT 2023

21-23 September 2023 – Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menganjurkan Kejohanan Boling Berpasukan MALA bagi merebut Piala Timbalan Menteri KPKT 2023 bertempat di Aman Bowl, Aman Central, Alor Setar. Sebanyak 80 pasukan dari 35 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Malaysia telah menyertai kejohanan ini.
 
Bagi kategori berpasukan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (C) telah muncul sebagai juara keseluruhan diikuti tempat kedua oleh Majlis Perbandaran Klang (A) dan tempat ketiga Majlis Bandaraya Shah Alam (A) dengan masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 3,000.00, RM 1,500.00 dan RM 750.00 serta Piala Pusingan dan Piala Iringan.
 
Manakala bagi kategori VIP, juara keseluruhan diraih oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru diikuti tempat kedua oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (B) dan tempat ketiga Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (A) dengan masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM 500.00, RM 300.00 dan RM 200.00.
 
Dalam sesi temuramah bersama wakil khas presiden MALA, En. Mazlan bin Mohd Said berkata Kejohanan Boling Berpasukan MALA merebut Piala Timbalan Menteri KPKT 2023 ini ialah julung-julung kalinya diadakan di Alor Setar. Kategori VIP turut dipertandingkan bagi acara sampingan di kejohanan tersebut.
 
“Kita akan menganjurkan kejohanan boling ini secara dwitahunan dan pihak MALA akan lebih berdaya maju lagi pada kejohanan yang akan datang dengan mensasarkan penyertaan lebih dari 80 pasukan.”
 
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah bersama pihak MBAS TV. Beliau bagi pihak MALA turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Timbalan Menteri KPKT di atas sumbangan bagi menganjurkan kejohanan boling tersebut. Beliau juga turut berterima kasih kepada pengurusan MBAS di atas penganjuran Majlis Makan Malam kepada semua pasukan boling dari seluruh PBT Malaysia yang telah diadakan di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar.
 
Dalam pada itu, En. Bohari Bin Md. Yusof yang mewakili Datuk Bandar Alor Setar mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Eksekutif MALA yang telah memberikan kepercayaan penuh kepada pihak MBAS sebagai hos bagi Kejohanan Boling Berpasukan MALA 2023 Piala Timbalan Menteri KPKT 2023 yang julung-julung kalinya dipertandingkan.
 
“Kita amat berbesar hati menerima kunjungan lebih kurang 350 peserta daripada seluruh PBT di Malaysia. Bagi pihak MBAS, kita mengalu-alukan kerjasama bersama pihak MALA untuk kejohanan-kejohanan yang akan datang pada tahun 2024 sempena program “Mai Singgah Alor Setar 2024″ yang akan diadakan pada tahun hadapan” ujarnya.
 
Skip to content