MAJLIS ANGKAT SUMPAH PELANTIKAN AHLI MAJLIS, MAJLIS BANDARAYA ALOR SETAR BAGI PENGGAL OKTOBER 2023 HINGGA DISEMBER 2025

09 Oktober 2023 – Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Alor Setar bagi Penggal Oktober 2023 hingga Disember 2025 yang telah berlangsung hari ini bertempat di Dewan Al-Wafa Tingkat 8, Menara MBAS.
 
Seramai 24 orang Ahli Majlis telah menyempurnakan lafaz akad sumpah di hadapan Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Bin Haji Md Daud serta menerima taklimat ringkas mengenai sistem pentadbiran MBAS dan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis MBAS.
 
Dalam sesi temuramah bersama Datuk Bandar Alor Setar, beliau menyatakan bahawa satu perjumpaan secara tidak rasmi telah diadakan bagi menerangkan kepada ahli-ahli Majlis MBAS mengenai fungsi dan peranan MBAS sebagai kerajaan peringkat ketiga.
 
“Peranan kita sebagai sebuah PBT ini lebih kepada merancang pembangunan secara fizikal dan juga sentiasa memastikan kesejahteraan masyarakat yang berada di kawasan pentadbiran MBAS.”
 
“Saya lihat semua ahli majlis yang baru dilantik khususnya di kalangan lantikan politik ini datang dari pelbagai latar belakang yang mempunyai kekuatan dan kualiti masing-masing. Jadi, saya yakin bahawa mereka mampu membantu pihak MBAS khususnya dalam urusan pengurusan dan pembangunan bagi memastikan matlamat MBAS untuk menjadi sebuah bandaraya berdayahuni 2035 tercapai”.
 
Kata beliau lagi, tahun ini merupakan tahun ke-20 MBAS iaitu dua dekad sebagai bandaraya dan MBAS juga dalam langkah mempromosikan kempen Mai Singgah Alor Setar 2024. Jadi, beliau berharap semua ahli majlis ini memahami akan hasrat MBAS dan dapat mengambil peluang ini untuk bersama-sama pihak MBAS dalam memastikan pembangunan di peringkat MBAS ini lebih terancang dan menjadi sebuah bandaraya yang lebih maju dan dikenali masyarakat.
 
Skip to content